IPOH: Komuniti India mencadangkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Heawood di Sungai Siput yang akan dirasmikan Perdana Menteri pada Ahad ini, dinamakan SJKT Tun S. Samy Vellu.
Penganalisis Sosio-Politik, Datuk M.Periasamy berkata, ini sebagai mengenangkan jasa mendiang bekas Presiden MIC itu terhadap pembangunan sekolah dan pendidikan Tamil di negara ini.
Menurutnya, kaum India di kawasan Parlimen Sungai Siput pasti gembira jika sekolah baharu itu dinamakan SJKT Tun S. Samy Vellu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian Ahad ini.
“Perdana Menteri lebih mengenali keterampilan, ketokohan dan sumbangan serta jasa-jasa mendiang Tun S. Samy Vellu.
“Komuniti India di Sungai Siput dan di seluruh negara berharap Perdana Menteri sudi memenuhi hasrat dan harapan kaum India, terutamanya kepimpinan dan ahli MIC dengan mengumumkan sekolah baharu itu sebagai SJKT Tun S. Samy Vellu pada majlis perasmiannya 6 Oktober ini,” katanya.
Menurutnya, Parlimen Sungai Siput adalah kawasan tradisi Presiden MIC sejak pilihan raya pertama pada tahun 1955 sehingga kini malah Presiden MIC yang ketujuh, Tun S. Samy Vellu bertanding dari awal sehingga akhir karier politiknya dari tahun 1974 hingga 2008.
Beliau berkata, sepanjang hampir 34 tahun dalam politik, mendiang bukan sahaja berkhidmat sebagai menteri kabinet tetapi berjaya membangunkan Sungai Siput dengan pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur.
Katanya, malah mendiang menghabiskan sebahagian besar hidup dan kerjayanya untuk pembangunan sekolah Tamil dan perkembangan pendidikan Tamil di negara ini.
“Dengan itu beliau wajar digelar ‘Bapa Pembangunan Sekolah Tamil’ dalam kalangan komuniti India di Malaysia,” katanya.
Mengenai sekolah tersebut, Periasamy berkata, sekolah itu antara tujuh sekolah Tamil baharu yang diluluskan semasa pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada tahun 2017 di atas tanah seluas 5.9 hektar dengan peruntukan RM11.1 juta.
Menurutnya, namun pembinaannya tergendala pada tahun 2020 atas pelbagai masalah termasuk pertukaran kerajaan, menyebabkan kos pembinaan meningkat kepada RM 13.1 juta.
Katanya, tambahan kos RM5.3 juta diperlukan untuk meneruskan pembinaan yang tergendala.
“Atas usaha Presiden MIC, Tan Sri SA .Vigneswaran, Kementerian Ekonomi meluluskasn peruntukan yang diperlukan untuk meneruskan pembinaannya dan berjaya disiapkan.
“Vigneswaran selaku Presiden MIC terbukti sudah berusaha sungguh-sungguh dengan berbincang bersama Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan malah kontraktor dan ibu bapa untuk menyiapkan pembinaan sekolah Tamil yang serba moden di Parlimen Sungai Siput,” katanya.
Menurutnya, sekolah itu mempunyai pelbagai kemudahan moden yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran, sesuai dengan keperluan semasa. – UTUSAN