PETALING JAYA: Malaysia berduka atas kehilangan seorang pejuang dan pembela rakyat Palestin, Al Syahid Yahya Sinwar yang dibunuh kejam oleh rejim Zionis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekali lagi komuniti antarabangsa gagal memperjuang serta memastikan keamanan dan keadilan tertegak lantas memburuk situasi konflik.
“Malaysia mengutuk keras pembunuhan ini dan ternyata percubaan rejim Zionis untuk melemahkan tuntutan pembebasan tidak akan berjaya.
“Walhasil, Malaysia mendesak agar kebiadaban Israel disanggah komuniti antarabangsa dan betapa pembantaian berterusan warga Palestin perlu segera dihentikan,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kumpulan pejuang Hamas mengesahkan Ketua Biro Politiknya, Yahya Sinwar terkorban dalam serangan rejim Israel pada Khamis lalu.
Berita dukacita itu disahkan oleh Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Khalil Hayya menerusi rakaman video seperti disiarkan oleh Al Jazeera.
Berita kematian pemimpin itu juga tular dalam platform Twitter sehingga meraih 1.3 juta ciapan dari penduduk seluruh dunia.
Kematian Yahya yang sinonim dengan gelaran Umar al-Khattab itu juga mendapat simpati mendalam daripada masyarakat antarabangsa. – UTUSAN