KANGAR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan membuka ruang dan peluang kepada atlet-atlet yang komited untuk berjuang buat negara dalam mana-mana temasya sukan khususnya di peringkat antarabangsa.
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, badan itu mengambil pendirian berkenaan bagi memastikan atlet-atlet yang mewakili negara mempunyai kesinambungan rekod dan tidak hanya menyertai pertandingan tertentu sahaja.
Katanya, atlet-atlet yang menjalani latihan di luar negara juga perlu mempamerkan prestasi yang terbaik terlebih dahulu.
“Mereka (atlet) kena ada rekod kesinambungan, ini kerana dulu ada juga atlet yang berlatih di luar negara dan enggan untuk menyertai kejohanan seperti Sukan SEA yang dianggap rendah.
“Sebab itu, KOM tak akan bagi, sebab kita nak beri peluang ini kepada atlet yang betul-betul komited buat negara,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series 5 di Kompleks Tuanku Syed Putra di sini, hari ini.
Kejohanan yang berlangsung bermula hari ini sehingga esok itu menghimpunkan 1,221 atlet dari seluruh negara.
Antara kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan itu adalah seperti Kategori Terbuka Lelaki dan Perempuan melibatkan 10 acara iaitu 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, lari berpagar, lompat tinggi dan beberapa lagi.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, dalam Kejohanan Terbuka Perlis kali ini, dua rekod kebangsaan berjaya dipecahkan setakat ini menerusi atlet lontar peluru, Nani Sahirah Maryata dan pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.
“Walaupun ada beberapa masalah teknikal dalam penganjuran ini namun ia telah berjaya diatasi malah dua rekod kebangsaan turut dipecahkan pada hari pertama ini,” katanya.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, secara keseluruhannya, atlet-atlet olahraga di negara ini mempunyai peluang untuk menyertai sekurang-kurangnya lapan pertandingan dalam masa setahun.
Katanya, kejohanan yang dianjurkan ini merupakan medan terbaik buat para atlet mengasah bakat mereka sebelum bersaing ke peringkat lebih tinggi.
“Jadi semua atlet mempunyai banyak ruang dan peluang untuk mendapat pendedahan di samping mengasah bakat mereka agar lebih kompetetif,” katanya.-UTUSAN