KUALA NERUS: Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dungun dekat sini akan menawarkan tujuh program pengajian baharu di peringkat ijazah berikutan permintaan tinggi pasaran kerja dalam bidang tersebut ketika ini.
Pengerusi Kolej Ketengah, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd Rahman berkata, inisiatif itu juga adalah komitmen tinggi pihaknya untuk memperkukuhkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Terengganu.
Menurutnya, antara bidang pengajian baharu itu ialah Sarjana Muda Keusahawanan dengan pengkhususan perdagangan, logistik dan perniagaan pengedaran, peruncitan, perbankan serta kewangan Islam.
“Selain itu, kita juga ada tawarkan Sarjana Muda Bahasa Arab serta Sarjana Muda Komunikasi Perniagaan dengan Bahasa Inggeris.
“Ini selaras dengan matlamat kerajaan persekutuan untuk melahirkan graduan TVET yang berdaya saing, berkemahiran tinggi dan mampu memenuhi permintaan pasaran kerja peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam Kolej Ketengah bersama pengamal media di sini malam tadi.
Pada majlis itu, Johan Qariah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2024, Nur Hidayah Abdul Rahman turut dipilih sebagai Ikon Kolej Ketengah.
Pemilihan Nur Hidayah itu adalah komitmen tinggi Kolej Ketengah untuk memartabatkan lagi bidang pengajian dan hafazan al Quran seiring dengan kemahiran TVET yang cemerlang dalam kalangan pelajarnya.
Ahmad Razif memberitahu, Kolej Ketengah juga terus menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terkemuka negara seperti Universiti Malaysia Terengganu, universiti politeknik Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.
“Kerjasama ini membolehkan pelajar lepasan Diploma Kolej Ketengah akan mendapat pengecualian kredit jam pengajian apabila melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di semua universiti tersebut,” katanya. – UTUSAN