KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memberi masa dua bulan kepada semua platform media sosial untuk meneliti draf pertama kod tatalaku melibatkan platform media sosial yang bakal siap hujung Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, masa dua bulan turut diberikan kepada semua penyedia perkhidmatan untuk mendaftar di bawah agensi itu sebelum sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.
“Kita telah mengusahakan perbincangan dengan platform-platform media sosial untuk membangunkan kod tatalaku yang akan disiapkan draft pertamanya hujung Oktober dan kita beri masa kepada semua platform media sosial untuk menekuni isi kandungan kod tatalaku tersebut
“Kita juga beri masa selama dua bulan yang berbaki tahun ini kepada mereka untuk berdaftar dengan MCMC.
“Kegagalan berdaftar, sekiranya mereka cukup syarat, maka akan ada beberapa tindakan undang-undang yang boleh diambil,” kata Fahmi dalam sidang akhbar Sambutan Hari Pos Sedunia di Kompleks Dayabumi di sini, hari ini.
Terdahulu, Fahmi mengumumkan, MCMC sedang membina kod tatalaku sebagai panduan kepada platform media sosial agar tindakan boleh dikenakan kepada pengguna sekiranya mereka melanggar kod berkenaan.
Menurutnya, pusingan pertama perbincangan melibatkan kod itu telah dilakukan pada 3 September yang lalu.
Sementara itu, MCMC turut mengikuti rapat perkembangan berhubung aspek pornografi dan jenayah seksual melibatkan aplikasi Telegram dengan mengadakan beberapa pertemuan bersama pihak aplikasi itu.
“MCMC telah mengadakan siri pertemuan dengan pihak Telegram dan kita mengikuti dengan rapat apa yang sedang berlaku.
“Pihak kerajaan juga tidak berhasrat untuk menahan kakitangan daripada mana-mana platform media sosial termasuk sistem penghantaran mesej dalam internet seperti Telegram dengan syarat mereka memberikan kerjasama yang baik,” jelasnya. – UTUSAN