KL, Perak, Pulau Pinang pun banjir, ada balak, tanya Sanusi

KL, Perak, Pulau Pinang pun banjir, ada balak, tanya Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menyampaikan Anugerah Khas Kanak-Kanak Negeri Kedah 2024 kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Mia Qaisara Munirul Hamdi, 16, pada Sambutan Hari Kanak-Kanak, Hari OKU dan Hari Warga Emas peringkat negeri di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang juga banjir, tiada pembalakan pun di sana. Setiap kali banjir akan ada pihak menangguk di air keruh menuduh kerajaan.

Demikian reaksi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung tindakan pihak tertentu yang mengaitkan banjir di beberapa kawasan di Kedah dengan kegiatan pembukaan hutan atau pembalakan.

Beliau berkata, terdapat hantaran di media sosial oleh Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah, Mohd. Sobri Ramlee kononnya lesen pembalakan di sebuah kawasan di negeri ini telah diluluskan pada 2023.

“Sebenarnya tak betul kerana lesen pembalakan itu diluluskan pada 2016 iaitu sebelum saya jadi menteri besar. Tahun 2023 yang tertera dalam gambar itu adalah tahun kelulusan lesen tebangan,” katanya ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Hari Orang Kurang Upaya (OKU) dan Hari Warga Emas peringkat Kedah di sini, hari ini.

Menerusi laporan Utusan Malaysia hari ini, Mohd. Sobri mendakwa, ‘kerosakan’ di kawasan hulu Kedah iaitu Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda akibat pembukaan hutan amat drastik didakwa menjadi antara punca sebahagian kawasan di negeri ini dilanda banjir lumpur.

Menurut Mohd. Sobri, pembalakan yang dilakukan bukan dibuat secara selektif, sebaliknya dilaksanakan secara ‘cuci mangkuk’ dengan kegiatan itu turut dilakukan di kawasan berhampiran gigi air serta cerun-cerun berhampiran.

Sementara itu, ujar Muhammad Sanusi, apabila lesen pembalakan diluluskan pada 2016, syarikat terlibat akan membayar premium dan membuat tandaan sempadan kawasan pokok yang akan ditebang.

“Selepas selesai semua itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) akan memproses lesen tebangan. Hal berkaitan kawalan kawasan hutan ini dikendalikan oleh JPNK mengikut peraturan dikuatkuasakan,” katanya.

Ditanya dakwaan pembalakan secara ‘cuci mangkuk’ di kawasan hutan dalam negeri ini, beliau berkata, JPNK akan menjelaskan perkara itu kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang akan melawat Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik, minggu depan.

“Khabarnya Mohd. Sobri juga dijemput untuk bersama Nik Nazmi dalam lawatan berkenaan. Jadi beliau boleh pertahankan dakwaan yang dibuatnya dalam lawatan itu nanti,” katanya.

Mengulas keadaan hutan simpan itu yang didakwa telah digondolkan untuk dijadikan ladang hutan, Muhammad Sanusi berkata, kelulusan projek berkenaan di kawasan itu mencecah keluasan 4,000 hektar yang kesemuanya dilulus antara 2011 hingga 2017.

“Bukan ada kelulusan baharu pun tetapi ada pihak tertentu, kira nak hentam orang saja. Di Kedah, kelulusan ladang hutan yang diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini berjumlah 28,000 hektar dan setakat ini jumlah kawasan yang ditebang mencecah 10,000 hektar.

“Masih ada 18,000 hektar lagi yang kita cuba ‘tahan’ kerana selagi tidak ada laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) memang kita tak akan benarkan ditebang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN