KKR fokus tingkat infrastruktur demi kesejahteraan rakyat

KKR fokus tingkat infrastruktur demi kesejahteraan rakyat

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir semua inisiatif meningkatkan kualiti perkhidmatan dan infrastruktur dicadangkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dipersetujui dan dimasukkan dalam Belanjawan 2025. 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KKR menerima RM10.350 bilion peruntukan keseluruhan bagi tahun 2025, iaitu kenaikan sembilan peratus berbanding RM9.511 bilion pada 2024. 

Menurut beliau, jumlah peruntukan mengurus KKR yang diluluskan adalah sebanyak RM1.022 bilion, kenaikan lapan peratus berbanding RM949.37 juta pada 2024. 

“Peruntukan mengurus ini akan dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti serta komitmen KKR ke arah sistem penyampaian yang lebih cekap, berkesan dan berkualiti. 

“Manakala RM9.327 bilion adalah peruntukan pembangunan yang meningkat sembilan peratus  berbanding RM8.561 bilion pada 2024. 

“Sebahagian besar peruntukan pembangunan merupakan 90 peratus daripada peruntukan keseluruhan diterima akan ditumpukan untuk membina, memperbaiki, mengganti dan menaik taraf jalan dan jambatan di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, peruntukan itu juga akan digunakan untuk kajian perlindungan dan penambahbaikan cerun, membina, menyelenggara serta membaik pulih bangunan Kerajaan Persekutuan, pembinaan persimpangan bertingkat dan jejambat, pengambilan balik tanah untuk projek-projek jalan dan jambatan serta pelaksanaan projek Komputer dan ICT dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kapasiti Kementerian. 

Katanya, aspirasi MYJalan yang diluncurkan pada 2023 adalah untuk menyemai peranan kebertanggungjawaban bersama dalam menjaga jalan raya terus diperkukuh melalui beberapa peruntukan dalam Belanjawan KKR 2025. 

“Sebanyak RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara Jalan Persekutuan dengan RM1 bilion dikhususkan untuk Jalan Sekunder, Jalan Felda dan Jalan Industri yang dikenal pasti memerlukan penyelenggaraan segera. 

“RM450 juta dikhaskan untuk memperkasa kontraktor Kecil Bumiputera Kelas G1-G4 bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan meningkat dari RM300 juta pada 2024.

“Peningkatan ini diharapkan dapat membantu lebih ramai kontraktor kecil Bumiputera melalui kerja penyelenggaraan jalan, sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, Belanjawan 2025 juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memasang lampu jalan baharu dan lampu isyarat pintar dengan peruntukan RM178 juta, meningkat 48 peratus daripada RM120 juta tahun lalu. 

“Sebanyak RM30 juta disediakan untuk 115 Jurutera Daerah JKR bagi menangani kerja-kerja mendesak yang memerlukan tindakan segera.

“Dengan pelaburan ini, kerajaan bertekad untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur, menjadikan akses jalan raya lebih selamat dan selesa bagi rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya