KKM sasar lahir 400 pakar onkologi menjelang 2040

KKM sasar lahir 400 pakar onkologi menjelang 2040

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pakar onkologi sehingga 400 orang menjelang 2040 berbanding 175 orang buat masa ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan penyertaan Malaysia dalam Fellowship of the Royal College of Radiologists (FRCR) in Clinical Oncology.

Beliau berkata, Institut Kanser Negara (IKN) akan terus menjadi pusat kecemerlangan dan penyertaan dalam FRCR itu.

“Penyertaan IKN dalam FRCR itu selari dengan usaha KKM dalam meningkatkan bilangan pakar onkologi,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Karnival Pink Oktober IKN 2024 di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini, peperiksaan FRCR hanya dianjurkan di India dan Hong Kong, malah, kini berjaya dianjurkan di IKN pada 3 dan 4 September lalu sekali gus calon tempatan akan mendapat akses lebih mudah kepada peperiksaan dan latihan tanpa perlu ke luar negara.

Dr Dzulkefly berkata, usaha ini telah dirintis oleh Dr. Soo Hoo Hwoei Fen, seorang Pakar Onkologi Klinikal lulusan FRCR yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Parallell Pathway Bidang Onkologi Klinikal, dengan sokongan pakar terkemuka seperti Prof. Dr. Rosmawati Mohamed.

Menurutnya, bermula sebelum merdeka, pakar onkologi di Malaysia telah mengikuti latihan FRCR di United Kingdom dengan pembiayaan sendiri.

“Selepas itu, Program Sarjana Onkologi Klinikal pula diperkenalkan pada 2002. Namun begitu, usaha mengembangkan pembinaan kapasiti belum mencukupi menyebabkan bilangan pakar onkologi klinikal dalam negara belum mencapai sasaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, kanser kolorektal atau usus besar kekal pembunuh utama lelaki manakala kanser payudara penyebab utama kematian wanita di negara ini.

Katanya, kes kanser yang dikesan pada tahap tiga dan tahap empat pula meningkat kepada 65.1 peratus pada 2017-2021 berbanding 63.7 pada 2012-2016.

“Trend in amat membimbangkan kerana kadar kelangsungan hidup jauh lebih rendah jika kanser dikesan lewat. Kematian dapat dielakkan sekiranya ada pencegahan dengan melakukan saringan awal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya