KKM lancar dua pelan tindakan bagi perkasa warga emas.

KKM lancar dua pelan tindakan bagi perkasa warga emas.

DZULKEFLY Ahmad bergambar bersama warga emas selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia Tahun 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan dua pelan tindakan bagi memperkasakan perkhidmatan kesihatan warga emas di negara ini.

Dua pelan berkenaan iaitu Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas KKM 2023-2030 dan Pelan Tindakan Dementia 2023-2030.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-dua pelan itu menyediakan hala tuju perkhidmatan kesihatan warga emas sehingga tahun 2030.

Beliau berkata, kedua-dua pelan itu menggariskan strategi pemerkasaan penjagaan kesihatan warga emas supaya golongan itu kekal sihat dalam komuniti dibantu pelbagai program pencegahan dan penjagaan diri.

“Objektif lain pelan itu termasuk memperluas kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan primer kepada warga emas menerusi klinik desa yang bermula sejak Julai 2019 dan sehingga Jun 2024.

“Buat masa ini, sebanyak 416 buah klinik desa telah terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan sambutan Hari Warga Emas peringkat KKM, di sini hari ini.

Katanya, pelan-pelan tindakan ini sekali gus memberi hala tuju yang lebih jelas dan strategik dalam pelaksanaan perkhidmatan kesihatan yang lebih holistik dan berkesan melalui pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat.

Dr. Dzulkefly berkata, soal penjagaan kesihatan dan penggalakan agenda penuaan sihat adalah tanggungjawab bersepadu segenap lapisan masyarakat dalam menghadapi cabaran sepanjang transisi ke arah negara menua.

Menurutnya, sambutan Hari Warga Emas tahun ini bertemakan ‘Sihat Madani Di Usia Emas’ iaitu memfokuskan kepada aktiviti promosi kepentingan penuaan sihat dan bermaruah yang perlu bermula dengan pencegahan penyakit terutamanya penyakit tidak berjangkit (NCD) sejak usia muda, serta pembudayaan hidup sihat melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Selain itu, katanya, selaras dengan hasrat tersebut, KKM sedang menambahbaik Garis Panduan Pelaksanaan Kelab Warga Emas yang akan memandu kesemua 256 Kelab Warga Emas yang kini aktif di bawah KKM.

“Garis panduan itu antara lainnya bertujuan memperkasakan penjagaan kendiri kesihatan agar kebolehan berfungsi terus kekal dan kemerosotan dapat dilambatkan,” katanya.

Malaysia dijangka mencapai status negara menua (atau aged nation) pada 2035 apabila 15 peratus daripada penduduk terdiri daripada warga emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya