KKDW jangan terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan - Ahmad Zahid

KKDW jangan terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) disaran untuk berdikari atau mencari alternatif lain dan tidak terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan sepenuhnya.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu, adalah penting bagi setiap agensi di bawah KKDW untuk mengorak langkah ke arah kemandirian.

“Saya telah lontarkan awal tahun yang lalu iaitu kita perlu menukar hala tuju daripada berpaksikan ‘cost center’ kepada ‘profit center entities’.

“Namun, saya ulangi gesaan ini agar kita kekal fokus dan mencari jalan untuk berdikari dan menjana pendapatan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata.

“Kita perlu memecahkan kebuntuan dan berfikir di luar kotak. Meskipun kita adalah agensi di bawah kerajaan, namun kita dan agensi lain seharusnya mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan semata-mata.

“Kita perlu berupaya membina sebuah organisasi berprestasi tinggi yang mampu melaksanakan lebih banyak projek pembangunan yang memberi manfaat besar kepada masyarakat desa,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulan Oktober Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024 di sini, hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menggesa untuk mempercepat penggunaan Dashboard Komuniti Desa.

Jelasnya, Dashboard Komuniti Desa perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan akses kepada maklumat pertanian, pendidikan, latihan keusahawanan dan bantuan dapat dipercepatkan dan diperkasakan.

“Saya juga ingin melihat Dashboard Komuniti Desa dimanfaatkan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

“Saya yakin dengan penggunaan dashboard mereka akan lebih aktif, efektif dan menjalankan kerja dengan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya