KUALA LUMPUR: Agensi di bawah Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKDW) disaran menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan syarikat swasta pada masa akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama di antara sektor swasta juga memainkan peranan yang kritikal dalam memacu pembangunan luar bandar.
Jelasnya, KKDW perlu melihat sektor swasta sebagai rakan strategik dalam mencapai matlamat pembangunan desa yang dihasratkan.
“Kolaborasi ini bukan sahaja mampu menggalakkan inovasi, malah mempercepatkan proses pembangunan dan mencapai hasil yang lebih berkesan.
“Penglibatan sektor swasta turut dapat mempercepatkan pembangunan dengan memanfaatkan kepakaran teknologi, modal, dan akses kepada pasaran yang lebih luas.
“KKDW sendiri telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat swasta dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi. Sebagai contoh, kerjasama RISDA dengan Alliance Concord Green Sdn Bhd (ACG) dalam projek biogas mampu menjana tenaga boleh diperbaharui yang memberi manfaat kepada ribuan isi rumah luar bandar, sekali gus membuka peluang ekonomi bagi usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulan Oktober Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerjasama dengan platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, dan TikTok pula membuka peluang besar kepada usahawan desa untuk memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.
“Produk kraftangan, makanan tradisional, dan hasil pertanian desa kini boleh dipasarkan secara digital.Usaha sebegini bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, malah turut merapatkan jurang digital antara bandar dan desa.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua agensi di bawah KKDW untuk terus proaktif dalam menjalin hubungan dengan sektor swasta,” katanya.
Selain itu, beliau menggesa agensi yang berpayung di bawah KKD menghapus budaya ‘silo’ dan bersinergi dalam memacu ekosistem pembangunan luar bandar yang lebih holistik.
“Langkah ini bagi mendepani cabaran akibat kekangan sumber dan kemajuan teknologi melalui Rangka Kerja Kolaboratif yang menumpukan kepada perkongsian sumber, pengetahuan, dan kepakaran untuk mencapai hasil yang optimum.
“Dalam konteks pembangunan desa contohnya, setiap agensi di bawah KKDW mempunyai peranan yang unik tetapi saling melengkapi.
“FELCRA berperanan dalam pembangunan tanah dan pertanian luar bandar, Majlis Amanah Rakyat (Mara) melahirkan usahawan dan melaksanakan agenda pendidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam memperkasakan masyarakat Orang Asli, dan RISDA dalam membangunkan pekebun kecil,” katanya. – UTUSAN