Kisah wanita dipaksa jadi pelacur dalam 'podcast' hanya rekaan - polis

Kisah wanita dipaksa jadi pelacur dalam ‘podcast’ hanya rekaan – polis

HAMZAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kisah seorang wanita yang mendakwa dipaksa menjadi pelacur selepas bapanya berhutang dengan ah long seperti yang disiarkan dalam sebuah audio siar (podcast) sebelum adalah tidak benar.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika mengesahkan perkara itu berkata, terdahulu, satu laporan polis telah dibuat kira-kira pukul 3 petang semalam berhubung video berdurasi 18 minit 31 saat dalam ‘podcast’ terbabit yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok mengenai kejadian itu

Kata Hamzah, rakaman video berkenaan memaparkan satu wawancara dalam talian yang menemubual mangsa iaitu seorang wanita berumur 26 tahun melalui satu panggilan telefon.

“Menerusi temubual itu, mangsa mendedahkan bapanya berhutang dengan ah long sebanyak RM20,000 dan kegagalan membayar hutang tersebut menyebabkan dia dipaksa bekerja tanpa gaji dengan ah long terbabit sebagai perempuan simpanan di Pulau Pinang sejak Februari lalu,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, polis mengesahkan bahawa satu siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung dakwaan seorang wanita dalam satu sesi ‘podcast’ yang mendakwa dia telah dipaksa menjadi pelacur oleh sindiket ah long di negeri ini.

Menurut Hamzah, susulan dakwaan berkenaan, satu laporan polis telah dibuat dan kira-kira pukul 10.50 malam semalam juga, polis telah berjaya mengesan mangsa tersebut dan mangsa ditemui dalam keadaan selamat di sebuah rumah di Seberang Perai Utara (SPU).

“Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati, mangsa telah menghubungi program wawancara tersebut (podcast) pada 26 Julai lalu dan kejadian dipaksa bekerja tanpa gaji oleh ah long di ‘rumah merah’ itu adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku.

“Pada masa yang sama, mangsa juga mengaku bahawa dia ada membuat pinjaman wang dengan beberapa buah syarikat pemberi pinjam wang serta menerima ugutan daripada syarikat tersebut kerana gagal membayar hutang. Ibunya yang berada di kampung dikatakan turut menerima ugutan yang sama,” kata Hamzah yang menjelaskan, mangsa telah mereka cerita tersebut untuk meluahkan perasaannya sahaja.

Tambah beliau, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali selain disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Dalam hal ini, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dan menyebarkan apa yang dilihat di media sosial tanpa menyemak kesahihan perkara tersebut dan penyebaran berita-berita palsu ini boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar membuat laporan polis sekiranya diganggu atau menerima ugutan daripada ah long untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya