JERAT Percintaan nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menang Anugerah Juara Lagu (AJL) 1996, menjadi perintis kepada kemasyhuran lagu-lagu lain yang beredar selepasnya.
Sejak itu, jenama ‘Siti Nurhaliza’ terus kukuh dalam tempoh hampir tiga dekad ini, sekali gus menenggelamkan nama dan pengaruh penyanyi yang sedang malah, sudah bertapak di persada muzik negara.
Kombinasi alunan vokal semula jadi Siti Nurhaliza ilham maestro muzik, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, liriknya ditulis oleh Othman Said dan Hani MJ, menjadikan Jerat Percintaan antara khazanah muzik yang tinggi darjatnya, sekalipun ada sejuta lagu lagi nyanyian Siti.
Kisah terbesar adalah bagaimana Jerat Percintaan mengikut perancangan asal dinyanyikan penyanyi, Mazleela di AJL 1996, bagi menggantikan Siti Nurhaliza yang berumur 17 tahun ketika itu kerana menduduki peperiksaan di sekolah.
Maka, bertebaranlah persoalan apa sebenarnya yang berlaku sebelum dan semasa berlangsung AJL 1996 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) ?
Apakah Mazleela ‘terpinga-pinga’ dan kecil hati selepas mendapat tahu berlaku perubahan keputusan pada saat akhir sehingga Siti Nurhaliza akhirnya menyanyikan Jerat Percintaan?
Akan sampaika penjiwaan dan makna Jerat Percintaan jika Mazleela sendiri menyanyikannya dan apakah Siti Nurhaliza terus menjadi penyanyi nombor satu sekiranya tidak membuat persembahan ketika itu?
Rebiu mendapatkan Mazleela berkongsi apa yang penyanyi lagu Tabah itu rasai ketika berlaku perubahan keputusan.
“Semasa berada di dalam syarikat rakaman dahulu tiada penyanyi lain boleh menggantikan Siti Nurhaliza selain saya kerana saya antara artis yang lebih senior ketika itu.
“Saya terkejut apabila Allahyarham Abang D (Adnan) seminggu sebelum pertandingan suruh saya menyanyikan Jerat Percintaan di AJL dan saya tidak pula pula menjangka perkara ini,” katanya.
LATIHAN
Bekas peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6) itu berkata, dia sudah menjalankan sesi latihan bersama Allahyarham Adnan, namun dia sebolehnya enggan menyanyikan lagu itu kerana tiada keyakinan serta keberanian menggantikan Siti Nurhaliza.
“Kalau boleh saya tidak mahu, saya takut sebab masih ‘budak-budak’ lagi waktu itu. Tetapi, Abang D kata tiada pilihan, saya kena nyanyi juga.
“Selepas berlaku perubahan, Abang D cakap pada saya ada cerita yang tidak best dan takut saya kecil hati. Saya tanya, kenapa? Abang D kata susah mahu cakap sebab lagu ini Siti Nurhaliza kena nyanyi semula. Saya pun kata, oh iyakah…selamat…,” katanya berseloroh.
KECIL HATI
Dalam pada itu, Mazleela berkata, tidak pernah berasa kecil hati terhadap mana-mana pihak termasuk Siti Nurhaliza sehingga dia tidak dapat meneruskan menyanyikan Jerat Percintaan.
Ini lebih-lebih lagi terdapat dakwaan sekiranya Mazleela tetap menyanyikan lagu berkenaan dan kedengaran ‘tidak sedap’.
“Saya tidak pernah kecil hati pun kerana sejak awal lagi saya tidak mahu menyanyikannya. Saya sendiri menyaksikan Siti Nurhaliza menyanyi di atas pentas pada malam itu, malah saya berjumpa beliau di belakang pentas dan beri kata-kata semangat buat yang terbaik,” katanya.
Siti Nurhaliza di media sosialnya sebelum ini sudah menjelaskan beliau secara kebetulan mempunyai masa untuk bertanding di tengah-tengah beliau menduduki peperiksaan.
“Kebetulan ketika itu cuti Deepavali dan cikgu cakap boleh. Itu sebenarnya membuatkan saya berubah keputusan untuk pergi bertanding semula,” katanya.
Pengacara, Azwan Ali yang merupakan penerbit AJL ketika itu pernah mendedahkan berkeras mahu Siti Nurhaliza menyanyikan lagu tersebut walaupun sidang akhbar sudah dijalankan menyaksikan Mazleela akan memenuhi tanggungjawab itu di AJL.
“Saya tetap mahu Siti. Tidak kisahlah dia SPM kah atau ujian, dia perlu berada di studio untuk rakaman. Orang tanya, habis Mazleela macam mana? Ah, lupakan,” katanya.