KOTA BHARU: Penduduk di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, di sini gempar selepas sebuah kilang barangan kitar semula musnah dalam kejadian kebakaran semalam.
Komander Operasi Balai Bomba Pengkalan Chepa, Mohd. Samsudin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.02 petang sebelum seramai 22 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Siasatan awal mendapati, kebakaran itu menyebabkan 80 peratus kilang tersebut terbakar dan tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Samsudin memberitahu, operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba Pengkalan Chepa dibantu Balai Pasir Tumboh dan Kota Bharu. – UTUSAN