Kibar bendera China: Pas desak kenakan tindakan ke atas penganjur

Kibar bendera China: Pas desak kenakan tindakan ke atas penganjur

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil tindakan segera ke atas  penganjur yang menganjurkan kibaran bendera negara China di Perak baru-baru ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan tidak boleh menormalisasikan segala tindakan berkaitan dan menganggap ia selesai melalui tindakan permohonan maaf tanpa siasatan dan tindakan tegas. 

Menurut beliau, Pas berdiri teguh atas tindakan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria serta beberapa pihak lain seperti Bersatu, Ketua Pemuda UMNO, MCA, dan pelbagai NGO yang turut mengecam kebiadaban tersebut.

“Perlu disedari bahawa isu yang berlaku ini bukan sekadar isu bendera sahaja, malahan ia sebenarnya gambaran ‘kesetiaan’ kepada negara. Perbuatan membela dan mendaulat negara asing berbanding negara sendiri adalah suatu tindakan yang sepatutnya dikecam oleh rakyat Malaysia.

“DAP pantas bangkit membela dan mempertahankan kejadian yang berlaku di Teluk Intan ini dan cuba memalingkan isu sebenar. Mereka cuba membawa persepsi bahawa isu mengibar bendera ini adalah isu picisan dengan meletakkan kesalahan kepada pihak yang mengecam tindakan tersebut. 

“Sekali lagi Pas menggesa kerajaan bertindak segera terhadap pihak yang memulakan provokasi dan tindakan tidak patriotik serta mereka yang membela pihak berkenaan, bukan menyiasat mereka yang membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video sekumpulan individu mengibarkan bendera negara China semasa sambutan festival kebudayaan Guan Gong di Menara Condong, Teluk Intan.

Bagaimanapun, penganjur mengatakan kumpulan berkenaan merupakan warga China dan bukan penduduk Malaysia.

Susulan itu, kira-kira 300 individu berkumpul sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang di lokasi yang sama semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN