Ketua Geng Dinesh mengaku salah 11 tuduhan jenayah - Utusan Malaysia

Ketua Geng Dinesh mengaku salah 11 tuduhan jenayah

A. DINESH Kumar (depan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Ketua Geng Dinesh didenda keseluruhan RM22,500 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini, selepas mengaku salah atas 11 tuduhan jenayah dilakukan sekitar Sitiawan, dekat sini dalam tempoh dua bulan lalu.

A. Dinesh Kumar, 24, juga berhadapan hukuman penjara antara empat hingga 10 bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda tersebut.

Bekas tukang kebun itu didakwa enam pertuduhan menceroboh kawasan parkir rumah enam mangsa di enam kawasan perumahan di Sitiawan, dalam tempoh antara pukul 1.10 pagi 24 Ogos hingga 12.35 malam 16 September lalu.

Untuk pertuduhan ini, dia didakwa di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang masih bujang juga didakwa empat pertuduhan di bawah Seksyen 379 kanun sama iaitu mencuri, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia didakwa mencuri sepasang kasut, sebuah ipad dan sebuah beg pemegang kad, sekeping kad merah ‘gold bar’ serta dua beg tangan bernilai keseluruhan RM1,902 dari dalam empat kereta milik empat mangsa dalam tempoh antara pukul 6 pagi 4 September sehingga 8 pagi 27 September lalu.

Dia juga dituduh di bawah Seksyen 427 kanun sama iaitu khianat dengan memecahkan cermin kereta Honda Jazz sehingga mangsa kerugian RM500 di sebuah rumah di Taman Raja Muda Musa, Sitiawan, pada pukul 7 pagi 27 September lalu.

Seksyen tersebut membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nurjihan Jaya manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Shaqira Ibrahim.

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman denda yang minimum kerana ia adalah kesalahan pertamanya dan sebelum ini bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata, polis berjaya menumpaskan geng Dinesh yang mendalangi sekurang-kurangnya 15 kes curi dalam kenderaan di daerah Manjung.

Bercakap pada sidang media, beliau dipetik berkata kumpulan dianggotai dua lelaki dan seorang wanita itu menyasarkan mencuri pelbagai barangan berharga dalam kenderaan yang tidak berkunci secara rawak di taman perumahan.

Ketiga-tiga suspek berjaya diberkas kira-kira pukul 6 petang pada 27 September lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya