PUTRAJAYA: Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak mendapati, tahap kesepaduan sosial di dua negeri itu berada pada tahap tinggi.
Kajian tersebut dibentangkan pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) yang kedua bagi tahun ini, hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara, hasil kajian itu bermakna perbezaan etnik, agama dan latar belakang masyarakat di dua negeri itu bukan faktor penghalang kepada kesepaduan sosial.
“Faktor Jarak Sosial (JS) yang dekat dan keakraban hubungan antara individu merupakan faktor dominan yang mempengaruhi kesepaduan sosial.
“Kedekatan hubungan jarak sosial ini boleh ditafsirkan bahawa sikap penerimaan dan saling percaya masyarakat di negeri ini melangkaui sempadan etnik, agama dan budaya,” katanya hari ini.
Menerusi mesyuarat itu juga dibentangkan berhubung Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian di Malaysia oleh pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Katanya, Malaysia masih belum terdapat kajian khusus untuk mengenal pasti tahap kefahaman, pengaruh dan kesan permasalahan kenyataan berbaur kebencian dalam masyarakat Malaysia.
Lantaran itu, katanya, kajian ini dilaksanakan secara komprehensif bagi tujuan untuk mengisi kelompangan tersebut yang hanya memfokuskan kepada kenyataan berbaur kebencian yang berlaku di Malaysia tanpa melibatkan isu berkaitan dengan kebebasan bersuara.
“Kenyataan berbaur kebencian di media sosial adalah suatu bahana serius yang memerlukan perhatian bersama dari segenap lapisan masyarakat.
“Dengan strategi dan langkah yang komprehensif, serta pelaksanaan yang efektif, masyarakat multi-etnik mampu memperkasa keharmonian sosial dan mengurangkan pengaruh negatif dari kenyataan berbaur kebencian,” katanya.
Selain itu, mesyuarat memutuskan untuk memilih Pulau Pinang untuk melaksanakan sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 yang bertujuan memupuk perpaduan dan integrasi melalui pendekatan terpilih untuk mengukuhkan hubungan masyarakat. – UTUSAN