Kesemua 560 kanak-kanak GISBH masih di bawah perlindungan JKM

Kesemua 560 kanak-kanak GISBH masih di bawah perlindungan JKM

Kesemua 560 orang kanak-kanak yang sedang berada di bawah perlindungan dan penjagaan JKM pada masa ini masih diperlukan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua 560 orang kanak-kanak yang sedang berada di bawah perlindungan dan penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan kes Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) pada masa ini masih diperlukan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Menurut kenyataan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), untuk tempoh ini, semua kanak-kanak telah dan sedang diberi perlindungan dan penjagaan sewajarnya oleh JKM.

Jelasnya, sehingga 14 Oktober lalu, seramai 560 orang kanak-kanak terdiri daripada 283 lelaki dan 277 perempuan kini sedang ditempatkan di Tempat-Tempat Selamat setelah JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terlibat, adalah kembali ke pangkuan keluarga.

“Namun, sebelum perkara tersebut dapat dilaksanakan, pelbagai aspek perlu dinilai dan dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terlibat,” katanya hari ini.

KPWKM berkata, seramai 884 pegawai JKM yang terdiri daripada Pelindung, Pegawai Diberi Kuasa (PDBK) dan Pegawai Psikologi terlibat dalam Op Global, meliputi serbuan ke atas 83 buah premis di seluruh negara.

Dalam operasi ini, katanya, JKM bertindak mengikut punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8 Akta Kanak-Kanak (Akta 611), iaitu pelantikan dan kuasa Pelindung, serta Seksyen 17(1)(d) yang menetapkan keperluan perlindungan kanak-kanak.

Selain itu, jelasnya, tindakan juga diambil berdasarkan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) yang memperuntukkan mengenai pelantikan dan kuasa Pegawai Diberi Kuasa.

“Peranan JKM dalam Op Global adalah menjalankan operasi menyelamatkan kanak-kanak bersama PDRM dan menguruskan penempatan sementara bagi kanak-kanak.

“Ini termasuk mendaftar maklumat, mendapatkan perintah jagaan sementara dan menguruskan kemasukan kanak-kanak ke Tempat Selamat,” katanya.

Sementara itu, susulan daripada kes yang tular di media sosial berkenaan satu rakaman pertemuan Pelindung Kanak-Kanak dengan ibu atau bapa kanak-kanak kes GISBH pada 9 Oktober lalu, kementerian memandang serius kes ini.

Jelasnya, pihak JKM sedang melakukan siasatan dalaman terperinci bagi memastikan tindakan sewajarnya boleh diambil.

Pada masa sama, JKM juga mengaktifkan talian khas bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan kanak-kanak Op Global ini melalui nombor 03-8323 2190 dan 03-8323 2191. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya