SHAH ALAM: Kes berkaitan pensijilan halal palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab masih dalam keadaan terkawal di negara ini apabila kebanyakannya melibatkan pengusaha industri kecil-kecilan seperti pasar, kedai runcit dan pasar raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, penguatkuasaan berkaitan sijil halal palsu itu dilakukan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurutnya, tindakan itu dibawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Cuma orang ramai biasanya akan membuat aduan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jika melibatkan isu sijil halal palsu.
“Justeru, kita akan selaraskan dengan KPDN bagi penguatkuasaan lanjut. Namun, kes itu masih lagi terkawal setakat ini,” katanya selepas melancarkan program Makanan Halal: Selera Sedunia di Shah Alam, hari ini.
Utusan Malaysia pada 10 September lalu melaporkan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyarankan kerajaan bertegas dalam mempertahankan pensijilan halal mengikut undang-undang, akta serta enakmen sedia ada.
Setiausaha Agungnya, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor memaklumkan, pihaknya berpendirian pensijilan itu satu keperluan bagi maslahah rakyat Malaysia sama ada umat Islam dan bukan Islam.
Jakim memaklumkan mana-mana kedai makan atau minuman yang tiada sijil halal bukan bermaksud menu disediakan di premis tersebut tidak halal.
Namun, memiliki sijil halal bertujuan meyakinkan restoran atau syarikat bahawa premis itu telah melalui audit dibuat oleh pihak ketiga iaitu Jakim bagi memastikan standard halal sebenar.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im memberitahu, Jakim mengiktiraf sebanyak 88 badan pensijilan halal dari 49 buah negara setakat Mei lalu.
“Jumlah permohonan dari negara lain bagi mendapatkan pengiktirafan itu agak pantas kerana industri halal sedang berkembang pesat. Industri sedia ada akan sentiasa berusaha menerokai mana-mana agensi yang mengiktiraf halal supaya produk mereka lebih diyakini,” ujarnya. – UTUSAN