Kes GISBH: 662 kanak-kanak diselamat dapat perlindungan - Utusan Malaysia

Kes GISBH: 662 kanak-kanak diselamat dapat perlindungan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengesahkan kesemua 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) setakat ini telah mendapat perintah mahkamah untuk mendapat perlindungan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkembangan terbaharu itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Jelasnya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memberi sedikit maklumat tambahan atau maklumat terkini mengenai jumlah kanak-kanak diselamatkan itu.

“Kesemua 662 kanak-kanak yang telah diselamatkan melalui beberapa operasi yang telah berjalan, kini telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan, itu terkini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Selangor menubuhkan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan kanak-kanak yang di selamatkan dari rumah amal dan sekolah agama bawah GISBH.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga melaksanakan proses pemulihan akidah dan sosial ke atas 261 kanak-kanak yang terlibat dalam kes tersebut dengan membangunkan modul khas itu dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) sejak 1 Oktober lalu.

Sebelum ini, polis melancarkan Op Global awal September lalu dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak berbincang mengenai isu berkaitan kefatwaan di peringkat negeri sama ada ajaran yang dibawa kumpulan ini sesat atau sebaliknya.

“Tetapi kita boleh rujuk juga dengan kenyataan dan fatwa mufti dan ada beberapa mufti telah mengeluarkan fatwa di mana ajaran tersebut telah disahkan sesat, untuk maklumat lanjut dalam isu ini boleh rujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya