KUALA KUBU BARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 10 Disember ini bagi sebutan semula kes anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Williams mencadangkan tarikh sebutan baharu kerana belum memperoleh laporan kimia bagi kes tersebut.
Peguam bela, Nur Aida Zainuddin yang mewakili tertuduh, Muhammad Alif Monjani, 26, tidak membantah permohonan tersebut.
Pada 26 Julai lalu, Muhammad Alif, 26, didakwa atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini, 25, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ladang kelapa sawit SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam, antara jam 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lalu.
Nur Farah Kartini, yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.
Mayatnya ditemukan kira-kira jam 6 petang, 15 Julai lalu dipercayai dibunuh individu dikenali dan susulan itu, polis menahan anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun. – UTUSAN