Kes banduan sokong, jadi ahli IS dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Kes banduan sokong, jadi ahli IS dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

TERTUDUH (tengah) diiringi polis semasa menghadiri prodising perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan untuk memindah kes bekas banduan yang sebelum ini didakwa atas empat pertuduhan memiliki bahan, menyokong dan mengaku menjadi keahlian kumpulan Islamic State (IS) pada 21 Julai lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Zulkifli Abllah selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim dalam satu prosiding sebutan semula kes tersebut hari ini.

Shafiq memaklumkan, pihaknya sudah menerima laporan pakar keganasan sekali gus mengemukakan izin pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Tiada bantahan daripada tertuduh, Nik Mohd. Shalahuddin Zakaria, 40, yang tidak diwakili peguam.

Nik Mohd. Shalahuddin sebelum ini didakwa memiliki 1,398 keping gambar, 62 buah video dan 565 artikel dalam bentuk format dokumen mudah alih (PDF) di dalam dua buah telefon pintar jenis Samsung Galaxy J7 dan Oppo A16K.

Kesemua bahan-bahan itu mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas IS.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Kampung Senang, Kota Jembal di sini kira-kira pukul 9.15 pagi pada 10 Jun lalu.

Tertuduh yang merupakan seorang penganggur didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan harta yang telah digunakan atau diniat dalam melakukan kesalahan itu turut dirampas sekiranya disabitkan bersalah.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan aplikasi media sosial, Facebook atas nama Ahmad Saif Al-Islam Il.

Kesalahan itu dilakukan di lbu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.15 malam pada 10 Jun lalu.

Menurut pertuduhan keempat, Nik Mohd. Shalahuddin didakwa mengaku keahlian kumpulan IS dengan cara melakukan upacara baiah dengan seorang lelaki iaitu pemimpin IS sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas tersebut.

Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di Kampung Senang, Kota Jembal, di sini pada tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 40 tahun atau denda dan harta yang telah digunakan atau diniat dalam melakukan kesalahan itu turut dirampas jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Nik Mohd. Shalahuddin ditahan di Johor dan dipenjarakan selama tiga tahun bermula 2018 hingga 2020 selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan berkaitan IS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya