Kerjasama strategik 'twin city' Putrajaya-Shanghai

Kerjasama strategik ‘twin city’ Putrajaya-Shanghai

DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menyuarakan hasrat bagi memperkukuh kerjasama strategik ‘twin city’ antara Wilayah Persekutuan, khususnya Putrajaya dengan Shanghai melalui program pertukaran kepakaran.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu bukan sahaja akan membolehkan negara mempelajari lebih lanjut tentang pengurusan bandar pintar dan penyelesaian teknologi berasaskan inovasi, malah memastikan ia berada di barisan hadapan dalam mengadaptasi pendekatan moden demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan bandaraya.

“Saya yakin kerjasama ini mampu membawa Wilayah Persekutuan ke tahap lebih tinggi dalam pengurusan bandar yang berdaya tahan dan berinovasi,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.

Terdahulu, Zaliha yang dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China bermula 7 Oktober, mengadakan mesyuarat bersama Kerajaan Perbandaran Shanghai yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Shanghai Municipal Commission of Housing, Urban-Rural Development and Management (SHMCHURDM) merangkap Pengarah Biro Pengurusan dan Penguatkuasaan Undang-Undang Bandaraya Shanghai, Zhang Yonggang.

Mesyuarat itu diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri baru-baru ini berkenaan kerjasama twin city antara Putrajaya dan Shanghai.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, perbincangan tertumpu kepada perkongsian kepakaran dalam strategi pembaharuan semula bandar di Shanghai iaitu 10 daerah utama mereka akan menjalani proses pembaharuan menjelang 2025, membabitkan pembangunan semula kawasan perumahan, komersial dan perindustrian yang dijangka membawa impak besar kepada pertumbuhan bandar secara menyeluruh.

“Antara aspek menarik perhatian saya ialah pelaksanaan konsep Sponge City, satu strategi pengurusan banjir pintar yang menggunakan teknologi pemantauan canggih termasuk sensor bawah tanah.

“Konsep ini bukan sahaja memperkukuh ketahanan bandar terhadap perubahan cuaca yang ekstrem, malah berpotensi meminimumkan kesan bencana alam di kawasan berisiko banjir.

“Selain itu, model ini boleh menjadi inspirasi Wilayah Persekutuan dalam mengintegrasikan teknologi hijau dalam perancangan bandar demi masa depan lebih lestari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya