Kerjasama BN, PH untuk PRN Sabah muktamad - Utusan Malaysia

Kerjasama BN, PH untuk PRN Sabah muktamad

AHMAD Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Santunan Kasih Deepavali 2024 di Kompleks UMNO Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 sudah muktamad, tetapi masih terbuka untuk menjalin kerjasama dengan pihak lain.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, memberitahu pihaknya tidak lagi menggunakan pendekatan lama yang tidak membuka ruang untuk berunding dengan pihak lain tetapi sentiasa bersikap terbuka menjalin kerjasama politik.

“Memang bahawa persetujuan antara BN dengan PH itu adalah asas kepada kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah.

“Untuk BN dan PH telah muktamad .Tetapi untuk parti-parti lain akan diadakan rundingan secara terperinci apabila tiba masanya,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Santunan Kasih Deepavali 2024 di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.

Presiden UMNO itu mengulas kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, semalam, bahawa terdapat persefahaman dan persetujuan di peringkat Pusat untuk menterjemahkan kerjasama antara gabungan dua parti itu bagi menghadapi PRN Sabah.

Beliau bagaimanapun dipetik berkata, setakat ini belum ada perbincangan rasmi antara BN Sabah dan PH Sabah, berhubung perkara tersebut.

Ketika ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah kerajaan negeri dan disokong PH Sabah manakala pembangkang utama terdiri daripada BN Sabah dan parti Warisan.

Kali terakhir PRN Sabah ialah pada 26 September 2020 dan DUN Sabah yang mempunyai 73 kerusi dijangka dibubarkan menjelang September tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri memaklumkan BN tidak pernah menutup pintu untuk menjalin kerjasama dengan gabungan parti-parti di Sabah atau mana-mana parti yang terdapat di negeri itu.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh BN adalah bersesuaian dengan landskap dan kedinamikan politik di Sabah dan situasi politik di peringkat nasional.

“Semua kemungkinan boleh berlaku dan saya sendiri telah bertemu dengan pemimpin utama GRS.

“Tetapi, kami tidak mengadakan perundingan secara spesifik, kami mengadakan perbincangan secara umum untuk menunjukkan kesefahaman,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya