BUKIT MERTAJAM : Kerja-kerja penggantian bahagian saluran paip utama yang rosak di Permatang Pauh kini telah siap sebanyak 90 peratus setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, terdahulu, paip sedalam 15 meter (m) itu rosak berpunca daripada kontraktor pihak ketiga.
Katanya, kedudukan paip yang terletak di tengah-tengah jalan dan di atas jambatan itu telah menyebabkan berlakunya kerosakan terhadap laluan terbabit sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
“Oleh itu, kami mengambil pendekatan di mana penggantian paip baharu ini dilencongkan bagi meminimakan kerosakan.
“Setakat ini, kerja-kerja selenggara masih berbaki sebanyak 10 peratus termasuk kerja kimpalan yang sedang dilaksanakan, namun, kami optimis ia akan dapat siap mengikut jadual ditetapkan supaya bekalan air dapat disalurkan semula kepada pengguna pada pukul 10 malam ini.
“Kita faham akan kesukaran yang didepani pengguna dan pihak PBA sedang melakukan sehabis baik untuk memastikan ia dapat diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kerja-kerja pemasangan paip berhampiran Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari.
Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, beberapa prosedur masih perlu dilaksanakan bagi kerja-kerja penggantian saluran paip baharu sepanjang 180m yang berdiameter 1.2m itu.
“Kita tidak mahu masalah ini berulang lagi dan sebelum air disalurkan semula, kita perlu menjalankan kerja pembersihan menggunakan klorin berserta beberapa lagi pemeriksaan lain,” katanya.
Sementara itu, Zairil berharap agar pengguna bersabar sementara kerja penggantian paip siap sepenuhnya.
“Ianya bukan kerja mudah kerana membabitkan logistik dan tenaga kerja profesional. Tambahan pula, kerja pemasangan itu melibatkan paip sedalam 15 meter. Bagaimanapun, kita harap semuanya akan berjalan lancar supaya bekalan air dapat disalurkan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 118,000 pengguna terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual (SWSI) di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) bermula 10 pagi sehingga 10 malam ini.-UTUSAN