Kerajaan tidak kompromi kes scammer, pedofilia

Kerajaan tidak kompromi kes scammer, pedofilia

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil hadir rumah terbuka Deepavali di Sentul Depot, Kuala Lumpur hari ini.PIX/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi lagi dengan Meta terutamanya melibatkan jenayah penipuan (scammer) dan pedofilia yang semakin berleluasa di media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, hasil perbincangan bersama Meta petang semalam, jenayah melibatkan pedofilia masih gagal ditangani pihak tersebut dan kerajaan juga tidak boleh lagi memberi masa kepada Meta.

“Pihak Meta ada minta kerajaan untuk berikan lagi masa, tapi kita sudah tidak boleh tunggu, dan tidak boleh berkompromi lagi.

“Kita sudah bertemu dengan Meta dari awal tahun lagi dan dakwaan mengatakan kita tidak pernah berjumpa dengan Meta berhubung isu ini adalah tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar sempena Rumah Terbuka Deepavali Madani di Sentul Depot di sini, hari ini. 

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Fahmi, pihak Meta kerap memberi pelbagai alasan dan tidak mengambil tindakan kepada penjenayah ini.

“Dia dah tahu dah saya dah turun ke Singapura bincang dengan mereka.

“Meta akan bagi macam-macam alasan tapi bagi saya keselamatan rakyat Malaysia terutama kanak-kanak dan keluarga tidak boleh kita kompromi,” tegasnya.

Semalam, dalam pertemuannya dengan Meta, Fahmi berkata, beliau telah menegur pihak tersebut kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) khususnya di platform Facebook.

“Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut,” katanya.

Pihak Meta turut menyuarakan pandangan mengenai pematuhan yang perlu dipenuhi untuk melaksanakan syarat-syarat ditetapkan, termasuk Kod Tatalaku dan Akta Keselamatan Dalam Talian belum mereka teliti sepenuhnya.

“Saya telah mengingatkan Meta bahawa niat kerajaan mengenakan lesen ini adalah untuk menangani isu jenayah yang berhijrah ke media sosial, termasuk jenayah penipuan, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Namun, saya memberi komitmen untuk mendengar pandangan semua platform media sosial, memandangkan lesen yang bakal dikenakan adalah lesen kelas (class license),” katanya.

Selain itu, lesen berkenaan dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat-syarat termasuk yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia.

Beliau berkata, pihak Meta telah bersetuju untuk menyediakan maklum balas kepada draf Kod Tatalaku yang telah diterbitkan pada 22 Oktober lepas dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada awal minggu depan untuk meneliti beberapa aspek dengan lebih terperinci. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya