Kerajaan sedia enam EV latihan amali pelajar TVET - Utusan Malaysia

Kerajaan sedia enam EV latihan amali pelajar TVET

AHMAD Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Santunan Kasih Deepavali 2024 di Kompleks UMNO Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan merancang mengagihkan enam kenderaan elektrik (EV) kepada institusi pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) terpilih sebagai latihan amali teknologi baharu kenderaan tersebut, tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, memberitahu enam EV itu dihadiahkan oleh Pusat Pendidikan Automatif Antarabangsa Beifang (Beifang) yang berpangkalan di China untuk kegunaan pelajar TVET di negara ini.

“Sebuah daripadanya akan diberikan kepada Pusat Automatif di Perda, Pulau Pinang manakala sebuah lagi kepada Centre For Technology Excellence (CENTEXS) di Sarawak.

“Empat lagi EV akan diagihkan ke institusi-institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk Giat Mara, Institut Kemahiran Mara (IKM) dan beberapa yang lain,” jelasnya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas hadir pada Majlis Santunan Kasih Deepavali 2024 di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, menjelaskan pengagihan EV tersebut dilakukan supaya pelajar tidak hanya belajar menggunakan kenderaan bersumberkan diesel atau petrol dengan teknologi lama, tetapi mempelajari teknologi baharu kenderaan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu lebih 100 tenaga pengajar bidang automatif juga telah dihantar ke China untuk mempelajari teknologi EV.

Tambahnya, mereka menjalani latihan antara tiga dan enam bulan di negara tersebut, sebelum kembali mengajar di institusi TVET tempatan.

Beliau juga memberitahu, setakat ini kerajaan telah menghantar lebih 2,000 pelajar menjalani kursus TVET di Beifang, daripada 5,125 tempat ditawarkan.

Menurut beliau, peningkatan belanjawan untuk TVET yang dinaikkan daripada RM6.8 bilion tahun ini kepada RM7.5 bilion tahun depan, membolehkan pihaknya berbincang dengan Beifang untuk menghantar lebih ramai pelajar ke situ dengan kerjasama sebuah kolej terkemuka di negara ini.

Terangnya, peningkatan peruntukan itu kerana kerajaan mahu melihat kejayaan bagi kursus-kursus kemahiran untuk semua rakyat yang berminat di dalam bidang TVET.

Ketika ini, maklumnya, seramai 408,000 pelajar berada di seluruh 1,345 institusi TVET di seluruh negara.

Menurutnya, Majlis TVET Negara juga merancang meramaikan pelajar dalam bidang-bidang TVET berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), internet of things (IOT), robotik, EV, teknologi hidrogren dan pelbagai bidang baharu yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya