KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meringankan tanggungan pembayar cukai orang kurang upaya (OKU) dengan tiga cadangan.
Pertama, pelepasan cukai tambahan bagi OKU dinaikkan kepada RM7,000.
Kedua, pelepasan cukai tambahan bagi pasangan OKU dinaikkan kepada RM6,000 ringgit dan ketiga, pelepasan cukai bagi pembayar cukai mempunyai anak OKU yang belum berkahwin dinaikkan kepada RM8,000.
Dalam pada itu, peruntukan bantuan OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditingkatkan kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.2 bilion.
Selain itu, kerajaan mengumumkan bahawa syarat kelayakan gaji bagi menerima Bantuan Elaun Pekerja OKU akan ditingkatkan kepada RM1,700 ketimbang RM1,500 ringgit.
Kemudahan mesra OKU di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan ditambah baik di samping terus melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti untuk OKU dengan peruntukan RM30 juta.
Kemudahan pembiayaan melalui Skim Sinar BSN disediakan dengan dana RM50 juta untuk OKU ceburi bidang perniagaan.-UTUSAN