PETALING JAYA: Kerajaan meluluskan Forest City sebagai Pulau Bebas Cukai bagi menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakej galakan cukai bagi Zon Kewangan Khas Forest City turut diumumkan bagi merancakkan aktiviti perkhidmatan kewangan seperti perkhidmatan perniagaan global kewangan dan Fintech.
Beliau berkata, skim Pejabat Keluarga Tunggal telah diluncurkan untuk Zon Kewangan Khas Forest City bagi menggalakkan pengurusan dana keluarga.
“Bagi menjayakan pengoperasian Pejabat Keluarga, Suruhanjaya Sekuriti akan berperanan sebagai pihak berkuasa melulus untuk pemberian Pas Residen serta Pas Penggajian kepada masing-masing Pelabur Keluarga Pengasas dan profesional pelaburan Pejabat Keluarga berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, bagi memacu pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) sebagai zon ekonomi khas yang mampan, kerajaan juga menyediakan insentif khas yang boleh menarik pelaburan berkualiti dan menawarkan pekerjaan bernilai tinggi.
“Insentif khas ini akan diumumkan menjelang akhir tahun ini. Invest Malaysia Facilitation Centre – Johor (IMFC-J) juga sedang ditubuhkan bagi memudah cara pelaburan di JSSEZ.
“Pusat ini bertujuan mengurangkan birokrasi di pelbagai peringkat bagi mempercepat kelulusan,” katanya. – UTUSAN