KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan memastikan lebih 50 ikhtiar yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat difahami bukan sahaja menerusi media sosial, tetapi juga ditekankan sehingga ke peringkat akar umbi.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Belanjawan 2025 kali ini dilihat mengangkat martabat rakyat berteraskan ekonomi Madani dengan merangkumi semua lapisan masyarakat dalam pelbagai aspek.
“Kalau kita lihat, usaha kerajaan kali ini adalah berkonsepkan keadilan untuk memberi bantuan kepada yang memerlukan bantuan dan tambahan kepada itu, kita melihat iltizam untuk mengurangkan defisit dan mengurangkan hutang termasuk pinjaman baharu.
“Kita juga tidak boleh menafikan selain daripada peningkatan gaji penjawat awam, dasar gaji progresif dan penerapan gaji minimum baharu membuktikan usaha kerajaan menaikkan lantai pendapatan dan memastikan peningkatan pendapatan rakyat menjadi satu realiti,” katanya pada dalam sidang akhbar di Parlimen, di sini, hari ini.
Fahmi dalam masa yang sama turut menjelaskan pembangunan kecerdasan buatan (AI) akan diletakkan di bawah Kementerian Digital, sekali gus menyifatkan pembangunan itu adalah langkah ke hadapan dengan memberi insentif yang berkaitan.
“Kita lihat petanda positif seperti penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bantuan diberikan kepada institusi pengajian tinggi untuk membangunkan kursus ini, mereka akan mendapat pelepasan cukai.
“Ini sangat baik untuk menerapkan ilmu baru pembangunan AI oleh Kementerian Digital, dibantu Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) untuk memastikan rakyat memanfaatkan industri AI, juga dapat mengguna pakai AI dengan lebih baik dan ke hadapan,” ujarnya. – UTUSAN