Kerajaan belum buat keputusan henti subsidi pendidikan anak orang kaya - Utusan Malaysia

Kerajaan belum buat keputusan henti subsidi pendidikan anak orang kaya

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menghentikan peruntukan subsidi pendidikan untuk anak-anak golongan maha kaya.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu masih di peringkat penelitian tentang beberapa perkara prinsip yang perlu diambil kira.

Jelasnya, kaedah penyasaran semula subsidi pendidikan tidak boleh disamakan seperti mana pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik.

“Kita belum putuskan, ia masih di peringkat penelitian, ada beberapa perkara yang menjadi prinsip secara umumnya.

“Kalau pada isu (penyasaran) subsidi elektrik sebagai contoh, kita beri penekanan bahawa 85 peratus daripada pengguna di semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan sebarang kenaikan, maka kita boleh ambil itu sebagai satu prinsip.

“Cuma dalam beberapa perkara seperti pendidikan, ia tidak berdasarkan seperti dalam kes bil elektrik, ia adalah bersandarkan kepada tahap penggunaan, tetapi dalam isu pendidikan, mungkin kita akan teliti beberapa perkara yang lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa kerajaan akan menilai semula peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan yang selama ini dinikmati golongan mahakaya.

Anwar menegaskan, perkara itu antara yang diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan agar pemberian subsidi itu hanya diberikan kepada golongan miskin dan benar-benar layak.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kemudian menjelaskan, kerajaan masih kekal dengan pendirian dalam memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh semua golongan, walaupun wujud cadangan untuk menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak-anak golongan kaya.

Beliau berkata, dasar kepada akses pendidikan juga tidak berubah dan akan terus memberi keutamaan kepada semua golongan bermula dari pendidikan peringkat rendah sehingga ke institusi pengajian tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya