Keputusan sewaan Black Hawk diketahui akhir bulan ini - Utusan Malaysia

Keputusan sewaan Black Hawk diketahui akhir bulan ini

ADLY Zahari mencuba salah satu permainan sukan elektronik pada perasmian Pertandingan e-sports Sekolah Dalam Kem ATM di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kementerian Pertahanan akan membuat keputusan akhir bulan ini mengenai kedudukan syarikat kontraktor yang sehingga kini masih gagal membekalkan empat helikopter Black Hawk untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata syarikat tersebut telah diberi tambahan masa sehingga akhir bulan ini untuk membekalkan helikopter pengganti kepada Sikorsky S-61A-4 atau Nuri yang telah dilucut tauliah pada 2020 itu.

“Ia sebenarnya adalah sewaan jadi kita terikat dengan beberapa terma kontrak, sebab itu kita beri tempoh lanjutan bagi memberikan ruang kepada kontraktor untuk menyelesaikan isu tersebut

“Jadi, kita akan buat penilaian sehingga hujung bulan ini sama ada boleh diserahkan ataupun sebaliknya.

“Jika kontraktor masih gagal, kita akan buat keputusan (sama ada ditamatkan kontrak). Kita kena tunggu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pertandingan Sukan Elektronik (e-sports) Sekolah Dalam Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini.

Semalam, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mempertikaikan keputusan kerajaan menggunakan syarikat kontraktor untuk menyewa Black Hawk.

Beliau dipetik berkata, Kementerian Pertahanan sebenarnya boleh mendapatkan Black Hawk secara ‘kerajaan kepada kerajaan’ (G2G) sama ada melalui kaedah Jualan Tentera Asing (FMS) atau ‘excess defense articles’ (EDA) daripada syarikat Sikorsky tanpa perlu pembabitan orang tengah.

Menurut Adly, penggunaan orang tengah atau kontraktor dalam perolehan kerajaan adalah perkara biasa dilakukan sebelum ini.

Beliau menjelaskan, kaedah itu bukan hanya dilakukan di Kementerian Pertahanan tetapi kementerian lain juga ada berbuat demikian, malah pihak swasta juga melakukan sewaan dan bukan pembelian pesawat untuk kegunaan mereka.

Ujarnya, ia bukan suatu bentuk kelemahan dalam pemperolehan kerajaan kerana terdapat banyak bentuk dan model sewaan yang boleh digunakan.

Tegasnya, apa yang paling penting ialah apabila sesebuah syarikat diberi peluang mendapat projek kerajaan, mereka harus mengutamakan agar ia dilaksanakan berasaskan kontrak yang telah ditetapkan.

Ditanya kenapa tidak menggunakan pesawat EC725 Caracal yang sudah digunakan ATM sejak 2012, Adly menjelaskan perolehan Black Hawk dibuat berdasarkan permintaan TDM.

“Spesifikasi (pesawat) disediakan oleh pihak TDM mengikut keperluan mereka, jadi pengguna akhir yang tentukan pesawat yang bagaimana diingini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pihaknya berhubung dengan anggota MALBATT di Lubnan, setiap hari bagi mengetahui perkembangan semasa berikutan serangan Israel terhadap negara tersebut.

Setakat ini, jelasnya, anggota ATM masih kekal bertugas di Lubnan kerana mereka bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya