KELAKAR tetapi soal perasaan dan harga diri, memang kita tidak boleh buat apa. Masing-masing punya rasa, macam mana kita hendak tahu kan. Lagi-lagi jika melibatkan perjuangan identiti sendiri.
Apabila anak kepada Norman Hakim dan Abby Abadi, Danish Hakim meluahkan perasaan kurang selesa kerana ramai yang mengenalnya hanya kerana kedua ibu bapanya, Poklip pun hairan.
Kenapa kena marah? Kenapa kena persoal? Ramai juga yang berpendapat, yang dikenali dan popular memang ibu bapa kamu.
Kamu juga masih merangkak membina nama dalam industri seni. Walaupun Danish sudah memohon maaf berhubung isu tersebut, masih ada yang ‘marah’ dengan kenyataan pelakon baharu itu.
Kenapa perlu malu? Kenapa perlu ada rasa kurang senang itu? Ramai sahaja anak artis yang membesar dengan soalan ‘kamu ini anak si polan kan?’
Sehinggalah satu masa, apabila dia sudah mampu berdiri dengan nama sendiri, maka berbanggalah. Jadi, Danish juga harus jadikan kejayaan beberapa anak artis sebagai inspirasi.
Ramai yang sampai memang anugerah, popular tanpa berpegang kepada konsep saya anak artis.
Malah Poklip rasa, bukankah itu satu kelebihan yang jika digunakan secara positif, boleh membantu anda untuk memahat nama dalam industri seni. Bukan dengan menjual gelaran anak artis itu.
Seharusnya gunakan pengalaman ibu bapa anda untuk mendepani kehidupan sebagai anak seni. Walaupun mungkin ada yang akan cakap, ala guna ‘kabel’ bolehlah, tapi jika anda membuktikan bakat, tiada siapa yang akan sangkal.
Berdirilah atas kaki sendiri tetapi berbanggalah dengan menjadi anak kepada penggiat seni yang sudah ada nama.
Satu masa nanti Poklip percaya, Danish juga mampu atau mungkin lebih hebat dari ibu bapanya.
Yang bangga nanti siapa, abang Norman dan kak Abby sendiri kan? Tak guna bising-bising dik, buktikan!