PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang hairan apabila pembentangan Belanjawan 2025 Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menyentuh isu tahanan di rumah.
Hassan Abdul Karim mempertikai mengapa perkara tersebut dibangkitkan dalam ucapan belanjawan yang sepatutnya lebih memfokuskan aspek ekonomi dan kewangan negara.
Katanya, adakah ia merupakan “persiapan awal” untuk membina persetujuan awam untuk meminda undang-undang “untuk meringankan hukuman bagi golongan elit tertentu”.
“Hanya satu perenggan sahaja. Tidak dijelaskan kenapa tiba-tiba soal tahanan di rumah perlu dimasukkan ke dalam ucapan belanjawan?
“Kelihatan janggal. Sepatutnya ucapan (belanjawan) membincangkan bagaimana untuk menambah hasil pendapatan negara, langkah mengurangkan hutang kerajaan dan defisit fiskal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Hassan turut mempersoalkan jenis kesalahan jenayah yang bakal dikenakan hukuman tahanan di rumah, serta sama ada ia akan meliputi kesalahan berat seperti rasuah dan pecah amanah.
“Sebarang usaha untuk menggubal undang-undang berkaitan tahanan di rumah pasti akan mendapat tentangan, terutama jika ia dilihat sebagai memberikan keistimewaan kepada golongan elit.
“Saya harap Perdana Menteri janganlah meneruskan agenda yang regresif seperti ini,” katanya.
Semalam, dalam ucapan Belanjawan 2025, Anwar turut menyentuh mengenai peluang kedua untuk pesalah dan membayangkan rancangan untuk merangka undang-undang baru yang membolehkan tahanan di rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu.
“Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara,” kata teks ucapan tersebut.
Bagaimanapun, Anwar tidak membacakan bahagian ini semasa ucapan penuh Belanjawan 2025.
Sebelum ini, isu tahanan di rumah hangat diperkatakan apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mendakwa pengampunan diraja boleh membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabit bersalah dalam kes SRC International. – UTUSAN