Kementerian Pertahanan perkenal e-sports sekolah dalam kem tentera - Utusan Malaysia

Kementerian Pertahanan perkenal e-sports sekolah dalam kem tentera

ADLY Zahari (dua dari kiri) diberi penerangan mengenai Pertandingan e-sports Sekolah Dalam Kem ATM di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Buat julung kalinya, Kementerian Pertahanan menganjurkan pertandingan sukan elektronik (e-sports) kepada pelajar sekolah dalam kem tentera bermula di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Pertandingan selama dua hari berakhir hari ini disertai 128 pelajar Tingkatan Satu hingga Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM Lumut, yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM8,500; selain telefon bimbit kepada pemenang tempat pertama.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, yang mengilhamkan inisiatif baharu itu bagi mengembangkan bakat serta potensi anak-anak pegawai dan anggota tentera, mengumumkan dua sekolah terpilih tahun ini, sebelum diperluaskan lagi tahun depan.

“Buat masa ini, ia dianjurkan di peringkat sekolah menengah untuk sekolah- sekolah dalam kem tentera dan selepas ini ia akan dibuat di Kem Terendak, Melaka pula,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Sukan Elektronik (e-sports) Sekolah Dalam Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini.

Menurutnya, pemilihan e-sports kerana ia turut melibatkan pendedahan kepada aspek pertahanan siber kerana kandungan yang dipilih ialah permainan jenis ‘Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG Mobile)’ yang berkaitan peperangan.

“Kalau kita lihat macam PUBG ini melibatkan juga aspek-aspek taktikal yang terkait dengan pertahanan siber juga.

“Jadi, saya fikir e-sport itu tidak secara langsung sebenarnya memberikan pendedahan juga kepada generasi-generasi angkatan tentera terutamanya anak-anak mereka dengan tanggungjawab ibu bapa mereka juga di Kementerian Pertahanan,” ujarnya.

Justeru, terangnya, ia secara tidak langsung mendedahkan pelajar-pelajar tersebut dalam aspek pertahanan siber serta memberi kecenderungan kepada sektor pertahanan atau alam pekerjaan dalam bidang ketenteraan sebagaimana bapa atau ibu mereka. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya