Kementerian Pendidikan aktif jawatankuasa banjir di peringkat negeri - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan aktif jawatankuasa banjir di peringkat negeri

AZMAN Adnan (tiga dari kanan) melepaskan peserta Larian Madani sempena sambutan Hari Sukan Negara di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengaktifkan jawatankuasa banjir di peringkat negeri-negeri bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir tidak lama lagi.

Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata, semua perancangan telah diatur rapi bagi memastikan semua warga pendidik di seluruh negara mampu berdepan bencana itu dengan lebih terurus dan baik.

Menurutnya, semua sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) telah bersedia untuk menerima kemasukan mangsa banjir.

“Bagi sekolah-sekolah yang berisiko dilanda banjir atau terkepung (tiada laluan keluar masuk) juga telah disediakan pelan alternatif yang sesuai.

“Semua ini dirancang rapi agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa sepanjang banjir melanda kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri Terengganu 2024 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini hari ini.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program berlangsung seperti Kayuhan Madani, Larian Ria Madani, Pertandingan Bola Sepak Penalti, sukan Orang Kurang Upaya (OKU), senamrobik dan permainan tradisional.

Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kemungkinan banjir berlaku lebih awal berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka melanda pada minggu keempat bulan ini.

MTL lazimnya berlaku pada awal November namun tahun ini, ia dijangka berlaku lebih awal susulan perubahan cuaca.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua persiapan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan banjir perlu diikuti oleh semua petugas kementerian bagi memastikan semua pelan alternatif berjalan lancar.

“Di Terengganu, sebanyak 401 sekolah telah dikenalpasti akan dijadikan penempatan PPS untuk masyarakat setempat.

“Selain itu, 65 sekolah pula berisiko banjir dan terkepung, semua persiapan termasuk berkaitan peperiksaan yang mungkin berlangsung pada tempoh banjir telah pun diberi taklimat kepada JPN seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya