Kementerian Komunikasi tumpu pemantapan prasarana Internet

Kementerian Komunikasi tumpu pemantapan prasarana Internet

FAHMI Fadzil ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Program Sembang Santai bersama Komuniti MADANI Pulau Pinang di Gelugor, George Town, Pulau Pinang malam tadi.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Komunikasi memberi tumpuan untuk memantapkan prasarana kesalinghubungan internet khususnya di kawasan terpencil, pedalaman dan pulau dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentang pada 18 Oktober ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, selain itu, fokus tersebut juga bertujuan memastikan kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat melengkapkan institusi pendidikan dengan kemudahan internet.

“Kita juga akan berusaha untuk membantu melengkapkan sejumlah sekolah yang terlibat dalam pelaksanaan projek ‘Point of Presence’ (POP) untuk mendapat kemudahan ‘wifi’ hingga ke dalam kawasan sekolah.

“Ia susulan teguran audit yang kita terima apabila projek POP yang dilaksanakan oleh pihak terdahulu sebelum saya hanya menyediakan perkhidmatan internet sampai di pagar sekolah sahaja.

“Jadi, kementerian merasakan ada keperluan untuk kita perbaiki masalah ini dengan membantu sekolah-sekolah dengan kerjasama daripada pihak Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Terdahulu, Fahmi menghadiri Program Sembang Santai Komuniti Madani di Gelugor di sini serta meluangkan masa beramah mesra bersama komuniti setempat selain mengadakan sesi soal jawab dalam program yang berlangsung kira-kira dua jam itu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyarankan supaya pihaknya memberi fokus bagi menyelesaikan masalah internet di kampus-kampus universiti awam.

“Saya telah minta pihak SKMM segera berbincang dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk kita kenal pasti kampus mana yang bermasalah ekoran setiap kampus ada masalah ataupun isu-isu yang sedikit berbeza.

“Justeru, diharapkan usaha ini dapat memperluaskan capaian internet sekali gus merapatkan jurang digital agar tiada yang ketinggalan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN