Kemenangan Aedy Ashraf di ABP selayaknya untuk dia - Syafiq Kyle - Utusan Malaysia

Kemenangan Aedy Ashraf di ABP selayaknya untuk dia – Syafiq Kyle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Al Faizal Abdul Karim

KUALA LUMPUL: Pelakon, Syafiq Kyle, 32, menyambut baik dan menyifatkan sahabatnya Aedy Ashraf layak diangkat sebagai Aktor Filem Popular sempena Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) yang berlangsung semalam.

Kata Syafiq, dia tumpang gembira
dengan kemenangan Aedy yang dianggapnya sebagai rakan industri perfileman yang lebih berpengalaman.

“Alhamdulillah, saya gembira untuk Aedy. Dia pun sudah berada dalam industri seni ini selama 24 tahun. Anugerah itu selayaknya untuk dia.

“Semalam saya ada menghubungi dia. Saya tumpang gembira. Saya pun sudah cukup bersyukur kerana tercalon dalam kategori sama. pelakon lain yang tercalon ada juga dalam kalangan senior-senior saya.

“Kita patut raikan setiap yang tercalon. Menang atau kalah, industri kita tetap bergerak ke depan. Anggaplah ini sebagai persaingan sihat, jangan simpan perasaan negatif,” katanya.

Syafiq berkata demikian ketika ditemui sempena sesi penggambaran drama bersiri One Cent Thief 2 di Jalan Lapangan Terbang Lama, di sini petang tadi.

Untuk rekod Aedy menewaskan empat pencabar lain termasuk Syafiq, Kamal Adli, Bell Ngasri dan Peking Ibrahim.

Syafiq dalam pada itu berharap kekalahannya bagi kategori tersebut tidak dijadikan isu besar, sebaliknya dilihat daripada sudut positif.

“Ini adalah rezeki masing-masing. Setiap penganugerahan (filem) dalam Malaysia ini disertai mereka yang juga kawan-kawan saya.

“Aktif atau tidak seseorang pelakon itu bergantung kepada rezeki mereka. Tiga filem saya keluar tahun ini juga satu rezeki. Itu diluar kawalan saya.

“Begitu juga dengan penganugerahan-penganugerahan ini. Ianya diluar kawalan saya. Yang saya boleh tentukan adalah pandangan mengenainya.

“Apa yang seharusnya kita buat adalah beri galakan kepada pemenang dan ucap tahniah untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu berpandangan penganugerahan bukanlah satu-satunya pengukur kepada kecemerlangan seseorang pelakon.

katanya,  pengiktirafan yang lebih bermakna adalah apabila aktor atau aktres itu masih diberi kepercayaan kepada pihak produksi untuk menghidupkan sesebuah naskhah drama atau filem.

“Anugerah perkara subjektif. Penghargaan verbal juga pada saya satu anugerah. Orang panggil kita bekerjasama juga satu anugerah. Maksudnya mereka percaya dengan kita.

“Saya lebih memandang perkara itu berbanding penghargaan dalam bentuk trofi. Trofi ini cuma perlambangan kepada sesuatu. Ukhuwah dalam bekerjasama itu lebih utama.

“Tiada bezanya kalau kita menang anugerah, tapi kita tidak menyumbang untuk industri seni. Biarlah kita kalah, asalkan kita memberi sumbangan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya