Kematian tahanan disyaki gantung diri dalam lokap di Pahang disiasat JIPS

Kematian tahanan disyaki gantung diri dalam lokap di Pahang disiasat JIPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu siasatan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman terhadap kes kematian mengejut membabitkan seorang tahanan polis di lokap Pekan, Pahang pada 4 Mei lalu.

Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman telah menjalankan siasatan berkaitan kes itu sebaik sahaja dilaporkan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, tahanan berkenaan merupakan seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan pada 1 Mei lalu kerana dipercayai menunggang motosikal curi.

Kata beliau, lelaki berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek sebelum mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Kemudian siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman  tiga hari mulai 2  Mei lalu di lokap IPD Pekan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, orang kena tahan (OKT) itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Hospital Pekan pada 4 Mei lalu.

“Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada hari sama dengan hasil keputusan mendapati punca kematian adalah gantung diri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan USJKT, JIPS Bukit Aman meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Kata beliau, kes juga telah dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) pada 4 Mei lalu iaitu dalam tempoh 24 jam selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (Akta 839).

“Seterusnya pada 7 Mei lalu iaitu dalam tempoh tujuh hari serta laporan berkala untuk pemantauan dan perkembangan siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya