PUTRAJAYA: Kematian seorang rakan baik akibat salah guna dadah sangat meruntum jiwanya dan perkara itu menjadi titik tolak kepada seorang usahawan untuk ‘pusing’ seluruh negara bagi menyampaikan mesej mengenai bahayanya bahan terlarang itu.
Klaus Lim, 36, atau turut dikenali sebagai ‘Abang Susu’ memaklumkan, dia kini sudah melaksanakan 33 program khidmat masyarakat (CSR) membabitkan kempen antidadah sejak 2016 lagi.
Menurutnya, seramai 11,000 murid sekolah rendah telah mengikuti kempen berkenaan yang turut mendapat kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan beberapa sukarelawan lain.
“Kempen ini merangkumi ceramah dan pameran di mana ia menyasarkan kanak-kanak di sekolah rendah sama ada di luar bandar dan bandar.
“Ia dianjurkan bagi memberi kesedaran, pengetahuan dan kemahiran kepada murid mengenai kesan penyalahgunaan bahan yang boleh memudaratkan diri itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Katanya, kempen ini juga bertujuan menyokong usaha pendidikan dan pencegahan dadah terutama dalam kalangan pelajar dan belia.
Klaus berkata, usaha pencegahan dadah bukan hanya terletak kepada AADK semata-mata, malah pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti perlu terlibat sama.
“Kami berhasrat meneruskan usaha pada masa akan datang dengan melibatkan lebih ramai lagi sukarelawan,” katanya.
Sebelum ini, Klaus dikenali ramai apabila mencetuskan kempen agihan susu tepung bayi percuma kepada keluarga memerlukan di Semenanjung Malaysia, Thailand dan Kemboja sehingga digelar ‘Abang Susu’.
Selain itu, Klaus juga pernah mengadakan program pengumpulan buku terpakai untuk diagihkan kepada murid dan pelajar termasuk murid Orang Asli di Semenanjung Malaysia. – UTUSAN