Kemampuan: Asas pertimbangan haji

Kemampuan: Asas pertimbangan haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarat wajib istito’ah sebelum menunaikan ibadah haji memerlukan pemahaman yang betul sebelum seseorang individu itu mengambil keputusan untuk berbuat demikian.

Ini termasuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan dengan niat menjalankan ibadah dalam rukun Islam kelima itu.

Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, hukum menggunakan pinjaman ketika hendak menunaikan haji adalah harus hanya jika seseorang individu itu memenuhi syarat-syarat tertentu.

Katanya, bagaimanapun seseorang yang terpaksa membuat pinjaman untuk mengerjakan ibadah tersebut termasuk dalam golongan yang tidak mampu sekali gus menggugurkan mereka daripada kewajiban tersebut.

“Ibadat haji adalah Rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan sekali seumur hidup. Namun begitu, ibadah haji adalah diwajibkan kepada mereka yang berkemampuan sahaja.

“Asasnya, seseorang yang terpaksa membuat pinjaman untuk mengerjakan haji termasuk dalam kategori tidak mempunyai istito’ah iaitu tidak mampu untuk mengerjakan haji,” katanya kepada Utusan Malaysia.

DR. MOHD. SUKKI OTHMAN

Mengulas lanjut, Mohd. Sukki berkata, antara syarat yang perlu ditepati adalah apabila pinjaman yang dilakukan tidak menjejaskan tanggungjawab nafkah yang perlu diberikan kepada keluarga yang ditinggalkan.

Katanya, ia merujuk kepada individu dengan duit lebihan yang cukup untuk membayar secara berjadual (ansuran) tanpa mengganggu sara hidup dirinya dan keluarga.

“Maknanya mereka ialah golongan yang mempunyai duit lebihan setiap bulan dan cukup untuk membayar kembali pembiayaan tersebut.

“Bagi mereka yang tidak pasti akan kemampuan mereka untuk membayar kembali hutang tersebut, maka mereka dikategorikan dalam golongan yang tidak layak,” katanya.

Tambah Mohd. Sukki, menyimpan di Tabung Haji (TH) adalah cara terbaik bagi perancangan melaksanakan ibadah haji.

“Melaksanakan ibadah yang memerlukan kos dan perbelanjaan tinggi memerlukan perancangan untuk menyimpan wang.

“Ia adalah kaedah terbaik kerana TH diwujudkan bertujuan memberi kemudahan kepada masyarakat Islam di Malaysia menunaikan haji,” katanya.

Sementara itu, Noor Haslindah Abd. Rahman, 48, berkata, penggunaan pinjaman wang bagi menunaikan ibadah haji dilihat tidak wajar kerana tidak menepati syarat berkemampuan seperti yang ditetapkan.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya seseorang itu mengerjakan haji dengan menggunakan wang yang disimpan khusus bagi menunaikan ibadah itu.

NOOR HASLINDAH ABD. RAHMAN

“Secara peribadinya, saya rasa tidak wajar untuk pergi haji dengan cara membuat pinjaman wang sebab boleh dikira sebagai tidak berkemampuan.

“Lebih baik kalau kita buka akaun simpanan khas contohnya seperti di TH dengan niat mengerjakan ibadah itu apabila duit sudah mencukupi,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, Yasmin Nadhirah Rahmat, 24, berkata, membuat pinjaman untuk menunaikan haji tidak wajar dilakukan kerana mampu memberikan kesan negatif kepada individu yang tidak mempunyai disiplin semasa pembayaran semula selepas selesai ibadah berkenaan.

Beliau yang menunaikan haji Jun lalu berkata, bagi memastikan seseorang itu tidak berhutang semata-mata mahu menunaikan ibadah tersebut, lebih baik mereka membuat simpanan sejak awal usia lagi.

YASMIN NADHIRAH RAHMAT

“Ia sebenarnya bergantung kepada individu tetapi bagi saya jika tidak berkemampuan, adalah lebih baik tidak melakukan pinjaman.

“Bagi yang menyimpan di TH, di samping dapat tunaikan haji awal, mereka juga menawarkan agihan keuntungan yang tinggi setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Yasmin Nadhirah turut menyarankan orang ramai untuk membuka akaun simpanan di TH secepat mungkin terutama bagi ibu bapa yang mempunyai anak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN