'Kelulutologi' dinobat Karya Ilmiah Terbaik 2024

‘Kelulutologi’ dinobat Karya Ilmiah Terbaik 2024

Anwar Ibrahim (lima dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Shamsul Bahri Abd Razak dalam Majlis Bulan Bahasa Kebangsaan 2024, DBP yang menobatkan buku Kelulutologi - Merungkai Misteri Kelulut, Alam dan Kehidupan Manusia, dalam kategori Karya Ilmiah Terbaik (kategori Sains dan Teknologi) di Ipoh baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Sempena Majlis Bulan Bahasa Kebangsaan 2024, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menobatkan buku Kelulutologi – Merungkai Misteri Kelulut, Alam dan Kehidupan Manusia, karya Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd Razak sebagai penerima Anugerah Buku DBP 2024 melalui Karya Ilmiah Terbaik (kategori Sains dan teknologi).

Buku Kelulutologi tersebut merupakan nukilan hasil pengalaman penulis sendiri dalam menerokai bidang kelulut selama lebih 10 tahun.

Menurut kenyataan Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu (UMT), buku berkenaan mengupas sifat, kepelbagaian dan ciri kelulut, peranan dan hubungan kelulut di dalam melestarikan kehidupan manusia serta alam sekitar serta pengalaman pengembaraan penulis didalam merungkai misteri kelulut Indo-Malaya di negara-negara Nusantara.

“Kelulutologi juga mengandungi foto-foto makro kelulut yang cantik dan berwarna-warni.

“Buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan bukan sahaja ahli akademik malah orang awam terutama pengusaha dan peminat kelulut. Kelulutologi telah diulang cetak melebihi tiga kali bagi memberi pengalaman dan ilmu kepada penggemar bidang ini,“ ujar kenyataan tersebut.

Menurut Shamsul Bahri yang juga merupakan pensyarah Sains Tanaman (Botani Antologi), di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pengiktirafan buku Kelulutologi melalui anugerah-anugerah yang diperoleh merupakan hadiah istimewa kepada semua pemain industri kelulut yang selama ini banyak memberi inspirasi kepadanya untuk terus berkarya dengan alam.

Ujarnya, anugerah tersebut menjadi pendorong untuknya terus aktif meneroka “dunia kelulut” serta membawa nama UMT ke peringkat antarabangsa di dalam bidang kelulutologi sama ada dari segi penerbitan, hubungan kerjasama serta penyelidikan.

Malah usaha Shamsul Bahri kepada masyarakat tidak pernah terhenti melalui projek-projek pemindahan ilmu kepada komuniti yang telahpun berkembang ke serata negeri. Antaranya projek ternakan kelulut di Kampung Sedili, Johor, Kampung Setiu, dan yang terkini di Kampung Menerong, Ajil, Hulu Terengganu.

“Alhamdulillah selagi kepakaran dan kudrat saya diperlukan, saya tidak akan berhenti untuk membantu dan menyumbang ilmu kepada komuniti dalam bidang kelulut”.

“Malah saya gembira apabila komuniti yang dibantu dapat berdiri sendiri memajukan bidang ternakan kelulut serta telah membantu mereka untuk menambahkan pendapatan sampingan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan,“ ujarnya.

Dalam majlis itu, Dr. Norfishah Mat Rabi turut menerima anugerah penulisan buku Sains Sosial dan Kemanusiaan bertaraf ilmu tinggi dalam Bahasa Melayu.

Dengan anugerah ini, masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 beserta sijil.

Penyampaian pengiktirafan tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Ipoh baru-baru ini.

Untuk rekod, buku Kelulutologi sebelum iin menerima empat anugerah antaranya Anugerah Buku Negara 2022 (Buku Umum Terbaik) (Alam Semulajadi & Penyelidikan), Anugerah Buku Ilmiah Terbaik (Sains Tulen) dalam Anugerah Julangan Bakat UMT 2022, Anugerah Akademik Negara 2023 dan terkini Anugerah Karya Ilmiah Terbaik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya