DUNGUN: “Saya berbesar hati memaafkan suspek dan keluarganya. Kejadian yang berlaku bukan kehendak dia (suspek) dan kita sesama manusia perlu saling memaafkan”.
Itu respons Ku Azmi Saad, 46, bapa Ku Adib Aizad, 20, salah seorang daripada tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun, Rabu lalu.
Ku Azmi berkata, dia dan keluarganya juga bersedia bertemu dengan keluarga suspek selepas selesai segala urusan berkaitan arwah anaknya.
“Tiada sedikit pun dendam dan marah dalam hati saya. Saya reda atas apa yang berlaku kerana kehendak Allah dan segala perjalanan akhir anak saya juga sangat dipermudahkan Allah.
“Saya sedia berjumpa dengan keluarga suspek, namun bukan dalam masa terdekat kerana masih banyak urusan yang perlu diselesaikan dan masih ramai kenalan yang datang menziarah.
“Mungkin nanti bila keadaan dah reda, elok kalau pertemuan itu diadakan sekali dengan ketiga-tiga keluarga,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ku Azmi berkata, buat masa ini, dia masih belum terfikir untuk mengambil tindakan saman terhadap keluarga suspek.
“Kalau saya dapat duit banyak mana sekalipun, tiada gunanya. Nyawa anak saya pun tidak dapat dikembalikan. Buat masa ini, saya tidak terfikir lagi untuk ambil tindakan,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan suami kepada wanita yang dipercayai merempuh dua buah motosikal yang dinaiki empat penuntut UiTM itu tampil memohon maaf bagi pihak isterinya dan bersedia untuk bertemu ahli keluarga mangsa.
Sementara itu, Jamaludin Hussin, 53, iaitu bapa kepada Khairul Anwar, 20, turut memaafkan pelaku yang menyebabkan kematian anak bongsunya, namun belum bersedia bertemu keluarga suspek.
“Saya terima dan reda atas apa yang berlaku. Sebagai orang Islam, saya juga maafkan pelaku sebab kalau tak maafkan, sampai bila-bila pun dendam tak akan habis.
“Namun, saya tetap akan ambil tindakan undang-undang untuk keadilan arwah sebab ia melibatkan nyawa,” katanya.
Sementara itu, pengurusan UiTM Terengganu akan mengatur pertemuan antara keluarga suspek dan waris pelajar yang maut dalam insiden tersebut. – UTUSAN