PETALING JAYA: Sebarang kekurangan dan kelemahan menteri perlu dimaklumkan secara terus kepada pemimpin tersebut dalam usaha membawa Malaysia ke arah yang lebih sejahtera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai sebahagian pendekatan ke arah prestasi yang lebih baik dalam keseluruhan aspek terutama pembangunan dan kesejahteraan negara.
“Apa-apa kelemahan dan kekurangan menteri-menteri boleh beritahu pada mereka (sendiri) dan kita akan perbaiki.
“Ini kerana semangat kita adalah (menuju) dari yang gelap kepada yang cerah dan daripada kegelapan kepada cahaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani anjuran Kementerian Digital di Sentul Depot, di sini semalam.
Hampir 5,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan agama hadir memeriahkan sambutan tersebut yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Anwar dalam masa yang sama turut berharap semangat sambutan Deepavali kali ini memberi ruang kepada seluruh masyarakat untuk membawa Malaysia ke arah cahaya yang bergemerlapan.
Jelas beliau, usaha itu selari dengan langkah-langkah yang dirancang dan sedang dilakukan oleh kerajaan, ketika ini.
Dalam pada itu Anwar berkata, makna sebenar perayaan Deepavali perlu dihayati semua masyarakat dan bukan hanya kepada penganut Hindu semata-mata.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengertian Deepavali atau Pesta Cahaya perlu diterjemah kepada kesejahteraan secara bersama dengan meneruskan perjuangan ke arah kebaikan dan keadilan demi masa depan yang lebih baik.
“Kita tahu semangat Deepavali atau festival cahaya iaitu menyemarakkan lampu cahaya menggantilan kegelapan.
“Jadi ada sejarahnya yang rakyat Malaysia semua perlu tahu bahawa sambutan ini adalah tujuannya untuk menyatakan bahawa hidup ini lebih daripada sekadar makan dan minum,” katanya.-UTUSAN