Kelas kabin selesai isu murid padat SK Cyberjaya

Kelas kabin selesai isu murid padat SK Cyberjaya

SUASANA kondusif sesi pengajaran dan pembelajaran murid dalam kelas kabin hasil inisiatif KPM bagi menyelesaikan masalah kelas murid padat di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selesa, kondusif dan amat memuaskan. Itu gambaran suasana kelas kabin yang mula digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya selepas disiapkan hanya dalam tempoh empat bulan.

Sejumlah 12 buah bilik darjah kabin pasang siap telah diserahkan kepada sekolah itu pada 2 September lalu yang diinisiatifkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai salah satu usaha penyelesaian jangka pendek kepada isu sekolah padat di sekolah berkenaan.

Pembinaan bilik darjah itu menggunakan Sistem Bangunan Perindustrian (IBS) iaitu satu kaedah pembinaan moden melibatkan penggunaan komponen bangunan yang dihasilkan secara industri dalam persekitaran terkawal, sebelum dipasang di tapak bina.

Projek bernilai lebih RM2 juta ini adalah termasuk kerja ubah suai berkaitan, pendawaian elektrik, perabot, peralatan dan tandas sekolah itu.

Menerusi tinjauan Utusan Pelajar di sekolah berkenaan, struktur bangunan bilik darjah itu mirip bangunan kukuh tanpa kelihatan bentuk asal kabin sebenar.

Dengan saiz yang lebih luas bagi setiap bilik darjah itu, susunan perabot seperti meja dan kerusi murid-murid pula dapat dioptimumkan dengan jumlah murid yang dikurangkan kepada 40 orang dalam setiap kelas.

Ia sekali gus memudahkan pergerakan murid-murid dan guru bagi menjalankan aktiviti ketika sesi PdP kerana wujudnya ruang yang mencukupi untuk mereka bergerak.

Fasiliti yang disediakan pula seperti pemasangan lampu dan kipas yang mencukupi juga memberi keselesaan kepada murid-murid untuk belajar dengan baik, di samping struktur binaannya membolehkan sistem pengudaraan dan pencahayaan yang memuaskan.

Menurut Guru Besar SK Cyberjaya, Normah Edros, pembinaan kelas kabin itu ternyata memberi kelegaan kepada pengurusan sekolah dalam menyelesaikan isu murid ‘melimpah’ dalam satu kelas sehingga mengundang kegelisahan dalam kalangan ibu bapa.

Jumlah murid dalam setiap kelas yang paling ideal adalah antara 25 hingga 30 dalam setiap kelas sebagaimana dicadangkan pihak KPM. Namun, pertambahan komuniti di sesuatu kawasan terutama di kawasan bandar yang tidak seimbang dengan jumlah sekolah yang ada mengakibatkan berlaku kesesakan di sekolah tertentu.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung SK Cyberjaya mempunyai 13 kelas untuk murid Tahun Satu dengan menempatkan seramai 50 orang setiap bilik darjah.

“Tapak asal pembinaan kelas kabin ini adalah gelanggang hoki. Di sini dapat dibina lapan buah kelas yang kita tempatkan murid-murid tahun enam.

“Jadi kita dapat menyuraikan murid-murid ke kelas baharu ini dan dapat mengurangkan jumlah murid dalam satu kelas sehingga 40 orang sahaja, dan pertambahan kelas berlaku iaitu antara 10 hingga 12 kelas bagi setiap darjah,” katanya ketika ditemui baru ini.

Menurut beliau, reka bentuk kelas kabin yang mempunyai ruang tengah atau kawasan koridor yang luas antara kelas-kelas ini membolehkan pihak pengurusan sekolah melaksanakan pelbagai aktiviti perkumpulan murid seperti bacaan Yasin pada setiap hari Jumaat khususnya bagi murid-murid Tahun enam.

Ruang ini turut disediakan kipas yang mencukupi untuk keselesaan warga murid dan guru.

 

Normah berkata, baki empat bilik darjah kabin lagi dibina di kawasan belakang yang bertentangan dengan kedudukan Sekolah Menengah Cyberjaya. Bilik darjah ini ditempatkan murid-murid berpendidikan khas integrasi (PPKI).

Setiap kelas kabin untuk PPKI ini dibahagikan kepada dua bahagian bagi mewujudkan lapan kelas untuk kumpulan yang lebih kecil. Kaedah tersebut membantu memberi lebih tumpuan guru kepada anak-anak berkeperluan khas untuk mendapatkan pembelajaran yang lebih baik.

 

Kedua-dua kawasan kelas kabin ini disediakan tandas bagi memudahkan penggunaan murid-murid dengan reka bentuk yang moden ‘ala-ala’ hotel yang jauh berbeza dengan keadaan biasa tandas sekolah sebelum ini.

Dalam pada itu, Normah memberitahu, sekolah ini yang dikategorikan sebagai Sekolah Amanah dengan pendekatan student centered menjadi lebih mudah dengan adanya kelas baharu dengan ruang yang lebih luas.

SKCJ diiktiraf sebagai Sekolah Amanah sejak 2016. Sekolah Amanah merupakan pengurusan kerjasama di antara pihak swasta dengan pemimpin sekolah kerajaan, di bawah kawal selia KPM.

Sekolah Amanah akan diberi lebih kebebasan dalam membuat keputusan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar sekali gus bermatlamat untuk membawa perubahan kepada prestasi sekolah tanpa mengira pencapaian semasa.

Sekolah Amanah memfokuskan pembelajaran secara kolobratif dan berkumpulan dengan membangunkan empat strategi matlamat murid, iaitu kepimpinan, PdP, kokurikulum dan hal ehwal murid serta komuniti.

SK Cyberjaya juga merupakan Program Transformasi Sekolah (TS25) iaitu sebahagian daripada usaha KPM ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah yang berkualiti tinggi agar selaras dengan keperluan semasa pendidikan di negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya