PETALING JAYA: Malaysia dan negara-negara ASEAN lain mahu keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dikekalkan selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Malaysia sebagai penyelaras negara untuk hubungan dialog ASEAN-China berkata, ASEAN turut menggesa Kod Tatakelaku (COC) di Laut China Selatan dimuktamadkan secepat mungkin.
“Ini adalah selari dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982,” katanya ketika menyampaikan kenyataan bersama ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-27 di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane, Laos semalam.
Malaysia mempunyai kepentingan di Laut China Selatan khususnya membabitkan penerokaan kawasan minyak dan gas berpotensi di perairan tersebut.
Isu pertikaian Laut China Selatan mula timbul susulan media antarabangsa sebelum ini melaporkan China menuntut hampir seluruh Laut China Selatan termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) 200 batu nautika yang dikongsi oleh Malaysia, Filipina, Brunei, Taiwan dan Vietnam, berada bawah kedaulatannya.
Namun menerusi undang-undang antarabangsa, EEZ tidak menandakan kedaulatan sesebuah negara, namun memberikan hak kepada negara terbabit untuk mengeluarkan hasil dalam zon itu.
Malah terbaharu beberapa insiden pertembungan pengawal pantai China dan Filipina yang menjadikan situasi di perairan dipertikaikan itu tegang, dengan yang terkini dilaporkan pada 31 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, ASEAN mengalu-alukan sokongan China dalam usaha peralihan tenaga dan menggalakkan kerjasama dalam teknologi baharu seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI).
“ASEAN mengalu-alukan Kenyataan Bersama Mengenai Memperkukuh Kerjasama dalam Pertukaran Antara Rakyat dan cadangan China untuk melanjutkan Tahun Pertukaran Antara Rakyat ASEAN-China hingga 2025,” katanya.
Katanya, ASEAN dan China menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain sejak 2020, dengan jumlah dagangan mencecah AS$696.7 bilion (RM2.99 trilion) pada 2023.
Malaysia berperanan sebagai penyelaras negara bagi Sidang Kemuncak ASEAN-China, yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan bermula 9-11 Oktober di ibu negara Laos itu.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia menggalakkan kerjasama strategik dalam transformasi digital antara negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialognya Jepun serta Korea Selatan pada Sidang Kemuncak Plus One blok itu.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-27, Perdana Menteri telah mengetengahkan keperluan untuk mengukuhkan kerjasama dalam rantaian bekalan dan kemajuan kecerdasan buatan antara blok negara 10 anggota itu dan Jepun.
Ketika Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-25 pula, Anwar berkata, kerjasama digital itu harus merangkumi pembinaan kapasiti, peningkatan kemahiran dan kepelbagaian strategik sumber manusia.
Perdana Menteri kini mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Anwar juga menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan
Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau juga akan menyertai Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, Sesi-sesi Suamuka antara Pemimpin-pemimpin dengan Wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council – ABAC).
Semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025.
Pada majlis itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan ringkas yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. – UTUSAN