KEMENANGAN Siti Saleha menjulang trofi Bintang Asia Terbaik sempena Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 baru-baru ini memberi pengertian yang cukup besar kepada aktres tersebut.
Selepas 22 tahun, kemampuan dan mutu lakonan Siti Saleha Mohd. Baharum buat pertama kalinya diperakui di peringkat antarabangsa, membuka lebih banyak mata terhadap bakat yang dimiliki beliau.
Ucapan terima kasih dan penghargaan dilayangkan pelakon berusia 34 tahun ini buat peminat.
Siti Saleha menyifatkan kejayaan itu sebagai kemenangan bersama kerana baginya, di sebalik pencapaian ada kelompok peminat setia yang sedari dulu memberikan sokongan.
“Kemenangan ini untuk peminat kerana merekalah yang mengundi saya sekali gus menjadikan saya penerima anugerah tersebut.
“Jauh daripada sudut hati, saya bersyukur dan terharu kerana peminat tidak jemu memberikan sokongan sejak saya mula-mula menjadi pelakon kira-kira 22 tahun yang lalu.
“Saya bertahan dalam dunia lakonan pun kerana adanya mereka. Memanglah, kita ada bakat dan selalu diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah untuk menjayakan naskhah yang hebat.
“Tetapi tanpa peminat, saya tidak rasa saya mampu kekal relevan. Mereka mengingatkan semula kenapa saya pilih bidang ini,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Siti Saleha diangkat sebagai penerima trofi berkenaan hasil persembahan lakonan hebatnya dalam drama Seofis yang ditayangkan di platform Tonton.
Jumlah undian tertinggi yang diterima aktres ini juga melayakkan beliau memenangi anugerah tersebut.
Katanya, semestinya dia berasa bangga dan bertuah kerana berpeluang mengharumkan nama negara. Bagi Siti Saleha, kemenangan itu juga didedikasikan untuk industri seni tanah air yang dicintainya.
“Tentu sekali saya teruja dan sangat gembira kerana saya bukan sekadar membawa nama sendiri, tetapi negara.
“Saya harap, kemenangan ini bukan titik penamat, sebaliknya menjadi batu loncatan untuk lebih ramai anak seni kita mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Dan tentunya saya harap orang luar nampak industri drama dan perfileman kita yang meriah dengan bakat dan kreativiti setanding antarabangsa,” kongsinya.
TERBANG TINGGI
“Bring it on.”
Demikian jawapan anak kelahiran Basildon, England ini tatkala disoal mengenai peluang mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Kata Siti Saleha, dia percaya pada rezeki dan tidak dia sia-siakan sekiranya berpeluang mencipta nama di negara lain.
“Memang ramai yang bertanyakan kepada saya soalan yang sama, mengapa saya tidak cuba nasib di luar negara?
“Sebenarnya saya sudah lama bersedia untuk lebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi. Kita tak tahu rezeki kita di mana. Ya, kalau berpeluang, memang tidak akan saya sia-siakan,” jelasnya.
Kata aktres berdarah kacukan Melayu Inggeris ini, masih jauh perjalanan yang perlu dia lalui sebagai anak seni, justeru masih banyak impian dan cita-cita yang dikejarkan.
“Jika pun satu hari nanti saya ditakdirkan untuk sekali lagi berumah tangga, saya harap ia tidak menghalang untuk saya terus mengejar impian dalam bidang ini.
“Saya mengharapkan karier berpanjangan. Kalau pun satu masa nanti saya tidak lagi berlakon, saya harap ada tempat untuk saya berkecimpung di belakang tabir pula,” jelasnya.-UTUSAN