KUALA LUMPUR: Selepas berjaya menembusi industri perfileman di Indonesia, pelakon jelita, Anna Jobling dipuji pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman.
Menurut Anna, dia rasa bersyukur dan gembira apabila pencapaiannya dalam industri seni mendapat penghargaan daripada pengerusi Finas itu.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas penghargaan yang diberikan. Kejayaan ini bukanlah milik saya seorang, tetapi hasil daripada sokongan ramai pihak termasuk pihak pengurusan saya, pasukan produksi dan peminat.
“Saya berharap kejayaan ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelakon dan penggiat seni tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya juga teruja untuk terus berusaha mengangkat nama industri perfileman Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Kamil yang kagum dengan pencapaian Anna berkata, tidak mudah untuk pelakon Malaysia diberikan kepercayaan untuk memegang watak utama dalam filem di negara itu seperti Lembayung dan Laut Tengah.
“Walaupun beberapa pelakon Malaysia berjaya mencipta nama di Indonesia, terutamanya dalam siri televisyen, Anna benar-benar layak menerima pujian kerana berjaya memegang watak utama dalam filem yang ditayangkan di pawagam. Ini adalah pencapaian yang kita patut banggakan,” katanya.
Melihat kejayaan pelakon yang membintangi drama Melur Untuk Firdaus itu, beliau yakin Anna dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia dalam bidang perfileman selain membuka jalan untuk menempa nama di peringkat antarabangsa.
“Kami di Finas berharap kerjasama antara Malaysia dan Indonesia akan semakin kukuh dengan lebih banyak projek filem bersama yang komersial, terutamanya apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan,” jelasnya.
Tambah Kamil lagi, FINAS juga sedang memperhalusi dasar dan strategi baru untuk memajukan industri perfileman tempatan ke peringkat antarabangsa.
Dalam perkembangan lain, Anna kini sedang terlibat dalam pembikinan filem Duyung – Legenda Aurora bersama bintang-bintang terkenal seperti Maya Karin, Saiful Apek, dan Datuk Yusry Abdul Halim, yang dijangka akan ditayangkan pada September 2025.