DUNGUN: Kehilangan tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun di sini, yang maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV, semalam, bukan hanya dirasai ahli keluarga mereka, malah pensyarah universiti itu.
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Kampus Dungun, Azlinda Mohamad berkata, ketiga-tiga sahabat itu, Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun, serta Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, merupakan pelajar yang baik, komited dalam menuntut ilmu dan mempunyai keperibadian yang tinggi.
“Khairil, Akmal dan Adib sangat baik, berbudi bahasa, menghormati pensyarah dan sering menjaga pertuturan mereka.
“Kalau datang ke kuliah, mereka menepati masa, lagi-lagi Khairil, dia seorang yang suka datang awal ke kelas, duduk di hadapan dan sering bertanya jika tidak memahami apa yang diajari pensyarah,” katanya ketika ditemui di Pusat Hidayah UiTM Kampus Dungun, di sini, hari ini.
Azlinda berkata, ketika menerima berita buruk yang menimpa warga UiTM itu, dia berdoa agar kesemua mangsa bukan merupakan pelajarnya.
“Hati saya bergetar bila melihat nama mereka dan saya berdoa agar mereka bukan pelajar saya, namun Allah dah tetapkan mereka pergi dahulu,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam, tiga penuntut UiTM itu maut manakal seorang lagi rakan mereka cedera selepas dua buah motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun, di hadapan universiti itu.
Mangsa yang cedera parah itu ialah Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Dungun. – UTUSAN