`Kehidupan berubah sejak kelahiran bayi selepas dirogol bapa kandung’

`Kehidupan berubah sejak kelahiran bayi selepas dirogol bapa kandung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  “Mangsa merasakan mimpi buruknya telah berakhir selepas serangan pertama, namun jangkaan itu meleset selepas bapa kandung mengulangi perbuatan terkutuk sehingga dia merasa dibawa ke arah kegelapan yang jauh lebih dalam.

“Kesan trauma itu masih berterusan hingga kini manakala kehidupan mangsa berubah secara drastik dengan kehadiran bayi yang perlu dibesarkan.”

Demikian penghakiman Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan ketika merujuk Pernyataan Impak Mangsa (VIS) seorang remaja berusia 15 tahun yang menjadi mangsa sumbang mahram bapa kandung sehingga melahirkan seorang bayi lelaki.

Buruh berusia 46 tahun itu dipenjara 72 tahun dan dikenakan 60 sebatan selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan merogol anak kandungnya di sebuah rumah di Kuala Krai pada waktu pagi antara Januari dan Oktober 2023.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani rehabilitasi dan kaunseling ketika berada di penjara selain pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman. 

Dalam alasan penghakimannya, Hakim Zulkifli Abllah berkata, mangsa tidak berdaya untuk mengelak atau melarikan diri daripada dirogol bapa kandung kerana lelaki itu cenderung bertindak di luar batasan terhadap remaja itu setiap kali berada dalam keadaan mabuk.

Beliau berpuas hati  jenayah rogol dilakukan secara sengaja atas niat yang berasingan kerana perbuatan itu berlaku berulang pada masa yang berbeza. 

“Mangsa mengalami penderitaan dan kesakitan fizikal kerana terpaksa melahirkan anak pada usia remaja sedangkan dia sepatutnya berada di bangku sekolah bersama teman-teman,” ujar beliau dalam penghakiman bertulis bertarikh 6 Oktober lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.

Beliau turut berpendirian, pengakuan bersalah tertuduh dan rayuan meringankan hukuman tidak boleh dijadikan faktor rayuan yang besar jika diambil kira kepentingan awam dan kesan yang amat dahsyat terhadap mangsa yang merupakan anak kandungnya sendiri.

Mahkamah mengambil kira pernyataan mangsa yang merasa dikhianati serta terluka secara fizikal dan emosi oleh individu yang paling dekat dengannya.

Tertuduh ketika itu mempunyai dua kes berlainan dan mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan (tiga pertuduhan bagi setiap kes).

Bagi kes pertama, dia dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan diperintah berkuat kuasa secara berasingan bermula tarikh tangkap pada 1 Disember 2023.

Kes kedua pula, dia turut dikenakan hukuman yang sama bagi setiap pertuduhan dan berjalan berasingan selepas tamat pemenjaraan bagi kes pertama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan minimum 10 kali. Lelaki itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya